Guan Eng dakwa kenyataan Sanusi sebagai usaha menghasut sentimen rakyat

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mengiktiraf keberadaan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri di Malaysia sebagai aksi untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap kegagalan pentadbiran Pas di peringkat negeri untuk mengatasi masalah air.

“Saya berharap agar rakyat Pulau Pinang dapat melihat dengan jelas wajah sebenar PN. Ini aksi untuk elak rakyat fokus kepada kegagalan pemimpin negeri terutamanya isu air. Saya juga percaya rakyat Pulau Pinang mempunyai mata yang tajam dan pastinya akan melindungi Pulau Pinang dari kerakusan kuasa pemimpin PN.”

Lim turut mendakwa dakwaan Sanusi sebagai usaha menghasut sentimen rakyat.

“Kenyataan Sanusi bukan sahaja telah mengguriskan hati dan menghina rakyat Pulau Pinang, malah beliau juga mencabar kedaulatan Pulau Pinang, menggugat perpaduan negara, malah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. Demi pilihanraya negeri, dia sanggup menghasut sentimen orang ramai.

“Beliau bukan sosok yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam negara ini dan merupakan pemmimpin yang sangat berbahaya kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook.

Semalam Sanusi menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan mendakwa bahawa negeri jelapang padi tersebut hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

“Jadi tak dak la sempadan Kedah-Pulau Pinang itu, sempadan negeri kita dok sebelah pulau sana (Balik Pulau), dengan Perak mungkin ada. (sempadan Kedah-Pulau Pinang) nak ukur kat mana, nak pakai warta nombor berapa,” kata Sanusi dalam sidang media pada Isnin.

Dalam konteks pilihan raya negeri yang akan turut membabitkan Pulau Pinang dan Kedah, Lim menyoal keperluan Pas bertanding di Pulau Pinang dan mewakili rakyat di situ.

Kenapa Pas nak bertanding di Pulau Pinang?
“Malangnya Sanusi sebagai seorang Menteri Besar, tak nak tengok, tak nak dengar dan tak peduli. Dalam keadaan sedar, beliau buat kenyataan bahawa “Pulau Pinang masih hak Kedah”, membayangkan dasar Pas kini adalah untuk meletakkan Pulau Pinang dibawah negeri Kedah. Dengan pendirian sedemikian, kenapa Pas masih nak tanding di Pulau Pinang, dan bagaimana Pas boleh mewakili rakyat Pulau Pinang?

“Kita juga mahu tahu adakah ADUN Pas di Pulau Pinang dan rakan sekutu PN (Bersatu dan Gerakan) akan bangun mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang dan hak anak negeri Pulau Pinang, menentang kenyataan Sanusi, dan meminta beliau minta maaf kepada rakyat Pulau Pinang.”

Lim turut menyatakan kenyataan Sanusi berpotensi melanggar perlembagaan persekutuan.

Beliau turut menyatakan bahawa kedaulatan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri di Malaysia diiktiraf menerusi Jalur Gemilang, jata negara dan perlembagaan persekutuan.

Jalur Gemilang ada bintang pecah 14 dan 14 jalur melambangkan 13 buah negeri (termasuk Pulau Pinang) dan Wilayah Persekutuan. Jata Negara Malaysia ada imej pokok pinang dan jambatan Pulau Pinang yang mewakili negeri Pulau Pinang.

“Perlembagaan persekutuan memberikan keabsahan kepada kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 buah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.”

Lim seterusnya mengingatkan Sanusi bahawa kedua-dua negeri telah mewartakan sempadan negeri dalam tahun 1985.

Selain itu, Pulau Pinang dan Kedah telah mewartakan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di “garis pusat” Sungai Muda pada tahun 1985. Enakmen ini menyatakan sebahagian daripada Sungai Muda dimiliki oleh Pulau Pinang, maka Pulau Pinang berhak untuk menimba air dari Sungai Muda. Dan juga ada batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan tindakan Sanusi sebagai satu sandiwara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*