Gara-gara pekerja wanita potong rambut lelaki, pemilik kedai salun dikompaun RM100

Gara-gara pekerja wanita potong rambut lelaki, pemilik kedai salun dikompaun RM100. Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengenakan kompaun RM100 terhadap pemilik kedai salun rambut kerana membenar pekerja wanita memotong rambut pelanggan lelaki.

Menurut Berita Harian, kejadian berlaku di premis di bandar itu minggu lalu, ketika operasi MPKB selepas sebulan pemilik sebuah butik didenda pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana berpakaian tidak sopan

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hua Kelantan, Oie Poh Choon, berkata pemilik salun berkenaan sudah membayar denda empat hari lalu selepas didapati melanggar undang-undang kecil MPKB.

“Saya sudah menemani wanita itu ke pejabat MPKB untuk menjelaskan dendanya dan dia juga mengaku melakukan kesalahan itu.

“Dia mengakui kesilapannya dan mendakwa bahawa dia terlupa peraturan itu,” katanya.

Beliau berkata, menerusi undang-undang kecil di bawah garis panduan lesen perniagaan MPKB menyatakan bahawa pendandan rambut wanita bukan Islam tidak dibenar menawarkan perkhidmatan gunting rambut kepada mana-mana orang Islam yang berlainan jantina.

Beliau berharap MPKB memberi taklimat kepada pemilik salun mengenai undang-undang sedia ada kerana ramai yang “seolah-olah melupakannya”.

“Ketika pertemuan saya dengan ahli persatuan baru-baru ini, kami juga menegaskan mereka supaya tidak melanggar peraturan MPKB atau mana-mana undang-undang kerana kami tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan dalam keadaan itu,” katanya.

Difahamkan, pekerja wanita salun itu menggunting rambut pelanggan lelaki yang pergi ke tempat itu bersama ahli keluarganya yang turut memotong rambut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*