Fitnah beri tanah percuma kepada Vincent Tan, Amirudin saman Sanusi

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari berkata akan mengambil tindakan undang-undang menyaman menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

“Justeru saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor minggu hadapan atas fitnah yang dilontarkan ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Amirudin, tindakan samannya itu berkaitan ucapan fitnah Sanusi pada majlis Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra.

Ini membabitkan dakwaan Sanusi bahawa Amirudin terlibat “skandal” dengan pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

“Ucapan beliau tersebut jelas adalah fitnah, dan merupakan percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal REE yang terpalit ke atas beliau, yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini.

“Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan tersebut,” katanya lagi.

Semalam, Sanusi yang juga ketua pengarah Pilihan Raya PAS dilaporkan berkata Vincent Tan mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di negeri itu.

Sanusi menuduh keterlibatan syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bagi projek di Sungai Klang itu akan merugikan Kerajaan Negeri Selangor sekitar RM180 juta.

Sementara itu, Amirudin hari ini menjelaskan pihaknya telah memperincikan secara panjang lebar projek pembersihan sungai itu pada sidang Dewan Negeri (DNS) tahun lalu dan awal tahun ini serta dalam satu sidang Parlimen pada 1 Mac 2023.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*