Fahmi Reza pilih tolak pelawaan TMJ, ini cerita sebenar

Fahmi Reza (kiri) menolak pelawaan untuk bertemu dari Tunku Ismail.

AKTIVIS dan pereka grafik, Fahmi Reza enggan mengadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim walaupun mendapat jemputan secara peribadi.

Perkara itu didedahkan Fahmi menerusi akaun Twitter miliknya menerusi satu tangkap layar perbualan antara dia dan Tunku Ismail.

Menerusi perbualan itu, Tunku Ismail meminta maaf atas tindakan admin media sosialnya yang telah menyekat Fahmi Reza dan susulan itu arahan telah diberikan supaya unblock aktivis berkenaan.

Tunku Ismail turut memaklumkan yang sebelum ini dia mahu berjumpa dengan Fahmi Reza tetapi ditolak dan telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim menguruskan pertemuan itu.

Tangkap layar perbualan yang dimuat naik Fahmi Reza di akaun Twitter miliknya.

Namun Fahmi Reza menolak permintaan itu dan berkata yang dia tidak menerima jemputan untuk berjumpa mana-mana individu politik, ketua kerajaan atau mereka dari kelas pemerintah untuk mengelak dirinya daripada dilihat bias atau rapat dengan mana-mana pihak.

“Saya lebih senang kekal sebagai seorang aktivitis yang indipendent. Harap kamu faham kenapa saya tolak jemputan kamu. Kalau kita berjumpa, macai-macai akan label saya ‘barua TMJ’ pula nanti,” katanya yang hanya mahu bersembang di Twitter sahaja.

Difahamkan situasi ini berlaku susulan tindakan admin media sosial TMJ yang menyekat Fahmi selepas aktivis itu menghasilkan lukisan grafik satira berkaitan TMJ.

Ia berbeza dengan maklumbalas diterima Fahmi semasa melakar satira melibatkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila mendapat ucapan terima kasih berserta emoji bagus. Malahan ia turut dikongsi anak raja Pahang itu.

Dalam pada itu, Marina menerusi akaun Twitter miliknya turut mengakui pernah beberapa kali membawa figura dalam kalangan aktivis berjumpa dengan Tunku Ismail sebelum ini.

Status yang dimuat naik Fahmi Reza di akaun Twitter miliknya.

“Untuk pengetahuan, ada beberapa aktivis yang aku pernah bawa jumpa Tunku Ismail dan mereka berani terus kritik secara berdepan.

“Alhamdulillah semua selamat, masih mampu kritik Tunku lagi dalam sosial media sekarang ni. Tak membuatkan dia tunduk walaupun dah jumpa,” katanya.

Fahmi Reza pilih tolak pelawaan TMJ, ini cerita sebenar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*