Fahmi ‘nasihat’ Sanusi, ‘berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ‘ajnabi’, tumpu tugas’

Fahmi ‘nasihat’ Sanusi, ‘berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ‘ajnabi’, tumpu tugas’.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri besar Kedah berbanding sibuk bercakap tentang “Langkah Dubai”.

Fahmi turut membangkitkan tindakan Sanusi sebelum ini yang menyertai sesi karaoke di TikTok.

“Sebelum dia (Sanusi) bercakap tentang Langkah Dubai, tanya dia apa jadi dengan litar lumba di Kedah.

“Saya rasa, daripada dia (Sanusi) komen tentang ini (Langkah Dubai), mungkin Sanusi perlu ubah sikapnya.

Berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ‘ajnabi’ dan fokus mentadbir,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Sanusi sebelum ini telah mempertahankan tindakannya menyanyi bersama-sama wanita di TikTok, dengan menyatakan ia bukanlah perkara yang melanggar undang-undang mahupun agama.

“Ia perkara remeh saja jika dibandingkan isu Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) yang dikaitkan dengan perdana menteri.

“Musuh politik ambil kesempatan edit bahagian tertentu video tersebut dan sebarkan dengan meletakkan caption panas, seperti berhibur sampai pagi, karaoke dengan bini orang, tarbiyah ulama Pas tahajud cinta, banyak lagi… saya baca semua komen itu,” katanya seperti dipetik Sinar Harian pada 28 Disember lalu.

Turut baca :

Berkenaan Langkah Dubai, Sanusi sebelum ini menyatakan istilah yang lebih sesuai adalah ‘Langkah Chow Kit’ memandangkan perbincangan menjatuhkan kerajaan sebenarnya sudah berlangsung sejak di Kuala Lumpur.

“Bukan Langkah Dubai, tapi Langkah Chow skit, pasal (perbincangan) dibuat di Kuala Lumpur.

“Saya rasa Dubai itu cuma dummy (helah) saja, sebab ramai orang pergi ke Dubai (bercuti),” kata Sanusi dalam nada bergurau.

Sementara itu, Fahmi menggesa Sanusi agar memberi perhatian kepada isu yang dihadapi Kedah, antaranya nadir bumi.

“Saya rasa, dia ada masalah yang lebih banyak. Dia menteri besar, dia bukan ahli parlimen. Jadi, fokus kepada tugas masing-masing,” katanya lagi seperti dipetik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*