Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menyiasat sumber kewangan Pas yang cukup mewah berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November lalu.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau lebih 37 tahun bersama Pas dan hairan pada PRU15 baru-baru ini, parti itu cukup mewah dengan sumber kewangannya.
“Bukan kata kami terkejut, UMNO pun terkejut, sebab kami dulu yang kami tahu yang mewah itu UMNO, tapi, sekarang bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hairan Pas amik duit mana.
“Begitu hebat bendera mereka, begitu hebat papan tanda mereka, begitu hebat upah-upah mereka, begitu hebat mereka upah pada TikTok dan sebagainya, ambil duit di mana? Saya harap kerajaan, Perdana Menteri, Anwar siasat hingga akar umbi.
“Kami dulu Pemuda Pas bila hendak pilihan raya masuklah hutan cari buluh sebab hendak pacak bendera lawan Barisan Nasional (BN) bukan senang, jadi, kami kemudian panjat pokok kelapa, sebab itu Pemuda Pas dulu bulu dada tak ada kerana panjat pokok kelapa, bulu dada habis, sekarang semua pakai ‘cetak’. Tak apa, mereka ada duit tak apa, cuma kita hendak tahu duit daripada mana,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di kawasan parkir Pasar Besar Rompin di sini, malam semalam.
Mohamad berkata, beliau sendiri sebagai Presiden Amanah terpaksa kutip derma dengan kawan-kawan sendiri.
“Akhirnya, kita dapat bertanding, alhamdulillah, saya sendiri dapat majoriti yang agak besar kali ini, tapi, saya berkempen hanya satu malam di Kota Raja, lain-lain saya menjelajah ke seluruh negara. Alhamdulillah, kita sekarang dapat bentuk kerajaan.
“Dalam keadaan suasana politik ketika ini, kita kena membina terus sebab Malaysia berada dalam keadaan kelam kabut, pelabur kurang datang, mata wang makin jatuh, kita lihat pula sepanjang pemerintahan Tan Sri Muhyiddin, zaman darurat dan sebagainya, banyak projek besar dibuat secara tender runding, bukan tender terbuka,” katanya.
Leave a Reply