Kerajaan menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut adalah dengan kerjasama pasar raya terpilih sebagai prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
Kata beliau, kerajaan menghargai sumbangan para pengusaha Menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi Madani bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya dalam sidang akhbar perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan untuk manfaat pemaju rumah mampu milik.
Beliau berkata, ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.
“Mengambil kira pengurangan harga simen ini berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.
“Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit,” katanya.
Leave a Reply