Mengejutkan! Penutupan tol di Jambatan Sultan Mahmud, ini kisah sebenar

Mengejutkan tetapi itulah yang didedahkan oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Muhatar Abdullah dalam satu kumpulan whatsapp.

Menurut Muhatar, sebaik sahaja Pas menang di Terengganu pada tahun 1999, tol di Jambatan Sultan Mahmud telah ditutup keesokan harinya sesuai dengan janji Pas.

“Ye betul berlaku sebaik saja Pas menang di TGanu 1999..adalah pembatalan Tol Jambatan Teganu..di buat keesukan hari nya ..dalam tempuh tak sampai 24 jam.

“Itu sebenarnya bukan arahan dari Pas…tetapi sikap sensitiviti sahabat saya mantan pengarah Upen Terengganu…And Pas so proud of it (Pas sangat berbangga dengannya),” tulis Muhatar dalam kumpulan Whatapps Lensa Sarjana yang disertai oleh ramai cendekiawan di negara ini.

Manurut rekod, Muhatar pada waktu itu adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pentadbiran).

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 2004 sehingga tahun 2010.

Ketika berkempen menjelang hari pilihan raya umum pada tahun 1999, Pas berjanji akan menghapuskan Tol di Jambatan Sultan Mahmud.

Pas menang besar dalam pilihan raya itu apabila berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan dan menang besar di Terengganu sehingga membolehkan Haji Abdul Hadi Awang (sekarang tan sri) dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pas mendapat laba besar dalam pilihan raya itu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno dan menggerakkan Reformasi di seluruh negara.

Jambatan Sultan Mahmud atau lebih dikenali sebagai Jambatan Duyong merupakan sebatang jambatan yang terletak di tengah-tengah Sungai Terengganu yang menempatkan satu plaza tol di tengah-tangahnya.

Jambatan ini menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus dengan pulau Duyong berada di tengah-tengahnya.

Kadar tol sebelum dimansuhkan ialah 50 sen sehala bagi kereta dan van, RM1 bagi lori dan bas sementara lori berganda RM2.

Walaupun tol telah dihapuskan, tetapi plaza tol di jambatan itu dikekalkan sehingga kini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*