Digilis ‘forklift’, warga emas hilang dua belah kaki

Seorang pekerja pembersihan kehilangan kedua-dua belah kaki selepas digilis trak angkat susun (forklift) dalam kejadian di Kompleks MASKargo Bayan Lepas semalam.

Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video yang menjadi tular di media sosial. Dalam video berdurasi 15 saat itu, mangsa, Jami @Jumi Shariff, 75, dilihat dilanggar trak angkat susun ketika berjalan di kawasan kargo itu.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Barat Daya, Leftenan (PA) Noor Azizan Zakaria, susulan menerima panggilan pada 12.16 tengah hari, empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Tambahnya, apabila tiba di lokasi, anggotanya mendapati kedua-dua belah kaki mangsa telah hancur digilis jentera berkenaan

“Anggota pasukan kemudian memberi rawatan awal dengan membuat balutan dan memasang alat sokongan pada kaki mangsa,” katanya, lapor Berita Harian.

Ketika diberi rawatan awal, katanya, mangsa masih berada dalam keadaan sedar dan berada dalam keadaan stabil ketika dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*