Digelar ‘wanita berapi’, sentuhannya mampu menyalakan api walau pada kain basah

PADA Ogos 2006, heboh diperkatakan tentang seorang wanita di sebuah desa dalam kota Luzhou di wilayah Sichuan, China. Wanita itu dikatakan memiliki ‘kekuatan aneh’ hingga mampu membuat apa sahaja terbakar selepas disentuhnya.

Kisah wanita berapi ini bukan saja menjadi bualan penduduk setempat malah turut menjadi liputan media di seluruh China. Wanita itu bernama Deng Deshu, berusia 33 tahun dan merupakan ibu kepada dua orang anak.

Menurut cerita penduduk setempat, kejadian aneh bermula dengan kebakaran pertama di kandang babi milik Deng Deshu. Api misteri itu kemudian berpindah ke kayu api di belakang rumah wanita tersebut lalu membakar bangsalnya. Dalam pada itu juga, sawah padi Deng Deshu turut terbakar secara tiba-­tiba.

Menurut penduduk di situ, kebakaran berlaku sejurus Deng Deshu dilihat berada di tempat-­tempat tersebut. Pernah sekali, mereka melihat api tiba-­tiba menjalar keluar dari badan dan pakaian Deng Deshu. Kejadian seumpama itu berlaku sebanyak empat kali. Deng Deshu sendiri mengakui, pakaiannya pernah beberapa kali terbakar secara tiba-­tiba.

Dikatakan ke mana saja Deng Deshu pergi, pasti akan berlaku kebakaran. Ditambah dengan cerita serta pemerhatian penduduk, wanita berapi ini mampu mencetuskan api melalui sentuhannya. Apa yang menghairankan, api tersebut tetap akan menyala walaupun Deng Deshu menyentuh kain yang basah.

Sekumpulan wartawan telah datang ke kampung tersebut setelah pihak bomba mengatakan bahawa Deng Deshu yang sebenarnya menjadi punca kebakaran di situ. Selepas beberapa siri laporan media tersebar ke seluruh China, sekumpulan ahli geologi pula datang untuk mengkaji Deng Deshu serta kawasan kampungnya.

Ahli geologi ini percaya, kejadian itu berlaku disebabkan oleh kewujudan gas metana di kawasan tersebut dan bukannya seperti yang didakwa oleh pihak-­pihak sebelum ini. Memandangkan dunia sedang berdepan dengan krisis tenaga, ahli geologi ini percaya kajian terhadap Deng Deshu akan menemukan mereka dengan punca gas metana tersebut yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Dalam pada itu, banyak pihak meragui kisah Deng Deshu. Mereka membuat andaian bahawa wanita berkenaan sebenarnya membakar pakaiannya sendiri bagi membuktikan konon dirinya mempunyai kuasa istimewa.

Bagi membersihkan namanya, Deng Deshu setuju untuk bekerjasama dengan kumpulan ahli geologi ini. Satu kajian kebakaran dijalankan secara terbuka ke atas pakaian Deng Deshu. Ia dilakukan bagi menutup mulut orang kampung yang menghebahkan pelbagai cerita tahyul dan karut­ marut mengenai wanita tersebut.

Selain untuk melihat punca­-punca bagaimana kebakaran ini berlaku, uji kaji kebakaran itu juga dilakukan untuk melihat sendiri sepantas mana api tersebut bertindak. Untuk itu, pakaian Deng Deshu dibakar kembali dengan menggunakan cara biasa, tetapi hasilnya, kain tersebut lambat terbakar dan sukar untuk merebak.

Ini membuktikan bahawa Deng Deshu tidak mungkin membakar pakaiannya sendiri tanpa ada agen-agen api yang bertindak balas dengan cepat. Tetapi, apakah benar telahan ahli-ahli geologi ini?

KNaF Punca Kebakaran?

Menurut sebuah badan geologi tempatan, daerah Luzhuo memang kaya dengan gas metana dan merupakan sumber asli yang menjadi bahan bakar bagi penduduk setempat. Namun, timbul persoalan tentang bagaimana gas-gas ini terhimpun di ruang udara dan seterusnya menghasilkan api lalu membakar apabila Deng Deshu menyentuh sesuatu?

Bagi mencari jawapannya, ahli geologi menjalankan uji kaji dengan menggunakan alat pengesan gas di persekitaran rumah Deng Deshu. Alat tersebut mempunyai keupayaan untuk mengesan kehadiran gas-gas di udara serta ketepuannya di sesuatu kawasan. Ia akan mengeluarkan bunyi amaran jika sesuatu tempat itu mempunyai gas.

Namun setelah beberapa lama memasangnya, tidak ada satu gas pun yang berjaya di kesan. Keadaan ini menjadikan ahli geologi tersebut buntu. Teori mereka tentang kemungkinan di sekitar rumah Deng Deshu terdapat telaga gas metana yang besar lalu bocor dan menyebabkan kebakaran, ternyata meleset.

Hasrat mereka untuk bertemu dengan sumber gas asli baru juga tidak kesampaian. Namun begitu, uji kaji tersebut tidak terhenti di situ saja. Mereka kemudiannya mengumpulkan sampel air, tanah serta benda-benda yang pernah terbakar apabila disentuh oleh Deng Deshu untuk dibawa ke makmal. Ia bertujuan bagi mengkaji apakah kebakaran tersebut berlaku disebabkan oleh tindak balas hidrogen yang terlalu tinggi akibat gas-gas yang dibebaskan oleh tanah.

Turut baca :

Mereka percaya, sekiranya KNaF (Kalium, Natrium dan Fosfor) mencapai kepekatan tertentu, ia akan menghasilkan hidrogen dan apabila terdedah di udara, berkemungkinan hidrogen ini akan menyebabkan kebakaran.

Tetapi hasil ujian makmal mendapati, kadar KNaF dalam sampel yang dikesan adalah kecil dan tidak mungkin dapat mencetuskan kebakaran. Persoalannya, sekiranya tiada apa-apa punca geologi yang menyebabkan kebakaran, maka dari mana api aneh ini terhasil?

Teori sains telah menetapkan definisi pembakaran sebagai reaksi kimia yang cepat antara oksigen dengan bahan bakar. Bagi kes Deng Deshu, tidak ada sebarang agen penyebaran yang boleh mencetuskan pembakaran. Ini dapat dibuktikan melalui tiga faktor.

Pertama, pakaian yang dipakai oleh Deng Deshu adalah benda yang boleh terbakar, tetapi tidak mudah terbakar. Faktor kedua pula, agen pembakaran yang membantu proses pembakaran adalah seperti minyak atau gas. Sedangkan, ujian makmal mendapati hanya sedikit sahaja kandungan KNaF yang terdapat di kawasan kediaman Deng Deshu.

Ketiga, ion-ion cas negatif dan positif sebagai agen pencucuh untuk menjadi sumber api juga langsung tidak terdapat pada kesemua sampel yang diuji, termasuk udara di kawasan itu. Badan manusia memang tidak boleh mengeluarkan api. Jika begitu, dari manakah datangnya agen pembakaran yang menyebabkan sentuhan Deng Deshu mampu mengeluarkan api? Itulah yang menjadi misteri dan membingungkan pada pengkaji.

______

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*