Seorang lelaki yang terpaksa meringkok di dalam penjara lebih 38 tahun atas dakwaan membunuh akhirnya dibebaskan selepas bukti DNA yang disimpan selama ini menunjukkan suspek adalah individu lain.
Sabitan terhadap Maurice Hastings, 69, dan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan pada 1983 dimansuhkan atas permintaan pendakwa raya dan peguamnya dari badan guaman Los Angeles Innocence Project di Universiti California selepas bukti tersebut dibawa dalam perbicaraan pada 20 Oktober lalu.
“Saya berdoa selama bertahun-tahun agar hari ini tiba. Saya tidak menuding jari. Saya tidak berdiri di sini sebagai lelaki yang kecewa tetapi saya hanya mahu menikmati hidup saya sekarang sementara masih ada,” kata Hastings.
Menurut portal berita The Guardian, mangsa dalam kes itu, Roberta Wydermyer dilaporkan diserang secara seksual dan ditembak di kepala selepas mayatnya ditemui di dalam bonet kenderaannya di pinggir bandar Los Angeles di Inglewood.
Hastings dipenjara pada 1988 tanpa parol oleh juri kedua selepas permohonan hukuman mati oleh peguam daerah ditolak juri pertama namun dia mengekalkan pengakuan tidak bersalah sejak mula ditahan.
Menurut kenyataan peguam daerah, ketika bedah siasat mangsa, koroner menjalankan pemeriksaan serangan seksual dan air mani dikesan dalam swab mulut mangsa.
Hastings cuba mendapatkan kebenaran untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada tahun 2000 tetapi pejabat peguam daerah menolak permintaan itu.
Hastings kemudian mengemukakan tuntutan tidak bersalah kepada Unit Integriti Sabitan Peguam Daerah tahun lalu dan ujian DNA Jun lalu mendapati air mani itu bukan miliknya sebaliknya milik seorang penjenayah lain yang sudah meninggal dunia di penjara dua tahun lalu.
Turut baca :
Leave a Reply