“Demi sesuap nasi…” ‘Rider’ tekad gendong anak hantar makanan

“Demi sesuap nasi…” ‘Rider’ tekad gendong anak hantar makanan.

Setiap manusia tidak terlepas daripada ujian, begitu juga dengan kisah seorang bapa dikenali sebagai Amirul, yang tekad menggendong anak berusia lingkungan setahun ketika keluar mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

"Demi sesuap nasi..." 'Rider’ tekad gendong anak hantar makanan
Kisah Amirul yang terpaksa menghantar makanan sambil menggendong anak bongsunya yang berusia setahun turut mendapat perhatian aktivis masyarakat Ebit Lew turut menyumbang motosikal baharu untuk kegunaannya.

Kisah Amirul mula tular selepas seorang penjawat awam, Khairul Fazli, 42, memuat naik video di akaun Tiktok memaparkan kecekalan bapa muda ini bekerja sambil menjaga anak yang masih kecil.

Khairul ketika berkata, pertemuan bersama Amirul berlaku dua hari lalu, selepas melihat Amirul, seorang penghantar makanan menggendong anak kecil ketika bekerja dan membuatkannya terdetik untuk mengetahui apa yang membuatkan lelaki itu tekad berbuat demikian.

“Saya tengok ada seorang lelaki ni bawa motosikal, lepas itu nampak ada kaki terjuntai, saya rasa kaki bayi, saya pun pecut motor nak tengok lebih dekat.

Turut baca

“Bila saya dah dekat, saya nampak penghantar makanan tu (Amirul) bawa bayi dia sambil sebelah tangannya tutup kepala bayi elak kena panas,” kata Khairul.

Tersentuh melihat keadaan itu, Khairul berkata dia sempat bertanyakan mengenai latar belakang Amirul dan apa yang membuatkannya terpaksa membawa anak kecil bersama ketika menghantar makanan.

Katanya, dia difahamkan Amirul menetap di Jinjang, Kuala Lumpur dan mempunyai tiga anak, anak bongsunya terpaksa dibawa bersama kerana isterinya sudah mula bekerja, manakala ibunya sudah terlalu uzur untuk membantu menjaga bayinya.

“Isteri dia baru sebulan bekerja, jadi dia tidak dapat nak uruskan lagi, anak yang sulung sudah bersekolah, yang kedua berusia lima tahun dijaga ibu, tetapi disebabkan faktor usia, ibunya tak mampu nak jaga bayinya sekali,” katanya.

Susulan video yang tular itu, kisah Amirul mula mendapat perhatian ramai termasuk aktivis kemanusiaan Ebit Lew dan Adrian Ady yang tampil menghulurkan bantuan.

Terbaharu, menerusi perkongsian di Facebook Ebit Lew, beliau telah menghadiahkan sebuah motosikal baharu kepada Amirul serta menampung kos bulanan pengasuh bayinya.

“Motosikal pinjam dengan mertua. Isteri kerja butik baju. Duit tak cukup. Menangis je masa jumpa tadi. Terharu dapat berjumpa.

“Saya hadiahkan motosikal baharu untuknya dan minta adik (Amirul) ini cari pengasuh untuk anaknya. Nanti saya akan bantu bayar bulanan pengasuh,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Khairul yang turut mengusahakan kursus baik pulih kerosakan mesin basuh dan peti sejuk, kini sedang berusaha mencari penaja yang sudi membiayai yuran untuk membolehkan Amirul mengikuti kursus berkenaan.

“Saya pelawa Amirul untuk sertai kursus ini, sebab dengan mengikuti kursus ini kita boleh ‘survive’, jadi kalau dia berminat saya akan cari penaja untuknya mengikuti kursus, setakat ini sudah tiga pelatih yang mendapat tajaan daripada orang ramai,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*