Dana judi : ‘Jangan spin jawapan saya’ – Azalina

Datuk Seri Azalina Othman tidak mahu mana-mana pihak memutarbelitkan jawapan beliau di Parlimen tentang siasatan terhadap dana diterima Perikatan Nasional (PN) yang dikaitkan daripada sumber syarikat perjudian dalam kempen pilihan raya umum lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menegaskan beliau tidak pernah menyatakan bahawa siasatan tersebut dihenti atau digugurkan.

Kata beliau jawapan yang diberikannya dalam Dewan Rakyat semalam terhadap soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) cuma menyatakan bahawa tiada fail siasatan yang dibuka.

“Dalam jawapan SPRM yang telah saya kemukakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah dinyatakan bahawa SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Walaubagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini

“Saya ingin menegaskan bahawa jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang telah diberikan mahupun membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri.

“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip “rule of law” dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam masa sama Azalina berkata selain SPRM, agensi penguatkuasaan lain seperti polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri turut bertanggungjawab serta berkuasa menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan mana-mana entiti.

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” tegasnya.

Semalam media melaporkan SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN menggunakan dana daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen mereka pada pilihan raya umum lepas.

Pagi tadi, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menggesa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya sebelum ini mendakwa parti dalam PN menerima dana judi semasa kempen PRU15.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*