Dakwa kerajaan kurangkan 800,00 penjawat awam : MCMC buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap stesen televisyen Awesome TV yang melaporkan kononnya kerajaan bercadang mengurangkan sehingga 800,000 penjawat awam.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

“Bagi aduan berkenaan laporan yang disiarkan oleh stesen televisyen Awesome TV mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam, pihak MCMC mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV pada 20 Februari 2023 untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Satu kertas siasatan akan dibuka oleh MCMC di bawah Seksyen 206 AKM 1998 iatu kegagalan mematuhi syarat lesen. Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ianya akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, tampil menafikan dakwaan laporan disiarkan Awesome TV yang mendakwa kerajaan akan mengurangkan jumlah penjawat awam.

“Berita 757 oleh Awesome TV siarkan kononnya ada cadangan daripada ‘pemerhati’ untuk kurangkan bilangan penjawat awam.

“Kerajaan nafi sekeras-kerasnya tuduhan yang menyatakan penjawat awam akan dikurangkan.

“Oleh itu, saya meminta Berita 757 untuk memberi penjelasan tentang idea dan cadangan mengarut ini,” katanya.

Susulan itu Fahmi berkata dia difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Awesome TV ini telah melakukan pelanggaran sebanyak enam kali, termasuk semasa (pentadbiran kerajaan) sebelum ini sebanyak lima kali.

“Jadi pada 12.30 (semalam) ini MCMC akan berjumpa dengan Awesome TV untuk bincang kerana pelanggaran-pelanggaran ini berlaku waima di pentadbiran sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu MCMC menegaskan agensi itu memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I)

Menurutnya ia agar kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multi media 1998 (AKM 98) dan Kod Kandungan.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan- peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Antara tatacara dan proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” kata MCMC.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*