Dakwa anak didera di madrasah, wanita hadapi tuduhan buat laporan palsu

Dakwa anak didera di madrasah, wanita hadapi tuduhan buat laporan palsu. Sebelum ini, viral di media sosial mengenai dakwaan pengurusan sebuah madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam mendera dan menghalang pelajar pulang ke pangkuan keluarga.

Terbaharu, ibu kepada pelajar berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Shah Alam atas tuduhan membuat laporan palsu terhadap madrasah pemulihan dadah terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh, Zuraina Zamri mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali. Suri rumah berusia 45 tahun itu didakwa membuat laporan polis dengan memberi maklumat secara bertulis iaitu laporan polis di Sri Muda yang dikatakan palsu pada 21 Ogos lalu.

Susulan daripada itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum selama enam bulan atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh untuk tidak membuat sebarang kenyataan media supaya tidak mengganggu sepanjang kes ini dijalankan serta saksi awam.

Peguam bela yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan tersebut dikurangkan kerana Zuraina hanya seorang suri rumah dan suaminya berpendapatan bulanan RM3,000. Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pada 21 Ogos lalu wanita berkenaan telah membuat laporan polis berhubung anaknya yang berusia 20 tahun itu dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden dan ingin mengeluarkan anaknya daripada madrasah.

Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul oleh pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dia dipukul oleh pihak madrasah.

Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kes terbabit sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya serta diputuskan ‘No Futher Action’ (tiada tindakan lanjut) terhadap kes tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*