Amanah akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memfitnah parti itu.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata laporan itu susulan ucapan Sanusi pada program himpunan ummah selamatkan Malaysia di Kedah semalam yang mendakwa Amanah dilahirkan DAP.
“Fitnah ini telah lama dimainkan dan ia ditiupkan semula semalam yang menunjukkan betapa terdesaknya PAS untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.
“Justeru Amanah melalui biro mobilisasi akan menggerakkan laporan polis dibuat di seluruh negara supaya siasatan dibuat terhadap PAS yang semakin ketagih membudayakan politik fitnah dan adu-domba yang kesannya sangat bahaya kepada negara.
“Rakyat Malaysia perlu dijamin kehidupan yang sejahtera dengan membuang awal-awal sikap ektrimisme yang sedang dibina PAS hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu menurut Faiz, laporan polis juga dibuat terhadap satu artikel ditulis Nurhafizul Badrul Hisham bertajuk “Fitnah PAN terhadap agama lebih bahaya” yang disiarkan Harakahdaily.
“Jelas, siri-siri fitnah yang dibuat oleh PAS ini adalah satu serangan tersusun untuk melemahkan Amanah<‘ kata Faiz.
Terdahulu media melaporkan Amanah mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi berhubung dakwaan parti itu ditubuhkan DAP untuk memecahbelahkan PAS.
Naib Presidennya, Mahfuz Omar menafikan dakwaan itu dan menegaskan Amanah diasaskan oleh bekas ahli PAS yang menolak hala tuju politik parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, Amanah berjaya bergerak ke seluruh negara dengan menubuhkan 180 pertubuhan kawasan dan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dalam dua pilihan raya umum.
Jelasnya, Amanah ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Islam yang kini sudah tergelincir jauh daripada kompas perjuangan PAS.
“Dasar perjuangan Islam jelas termaktub dalam perlembagaan Amanah dan prinsip untuk menegakkan rahmat untuk semua kekal menjadi teras perjuangan Amanah.
“Saya tegaskan bahawa Amanah tidak ditubuhkan untuk melawan PAS dan penubuhan Amanah bebas daripada pengaruh mana-mana parti termasuk DAP, sepertimana yang selalu difitnah PAS,” tegasnya.
Baca juga :
{VIDEO} Tebusan Palestin: Setia menanti suami selama 24 tahun
“Jumlah yang merisaukan… Malaysia duduki tempat ke-3 negara paling ramai ‘Sugar Daddy’
Leave a Reply