Cubaan pemandu lori warga asing lari dari JPJ gagal

Cubaan seorang lelaki warga Indonesia melarikan diri daripada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagaimanapun tidak berjaya selepas dia ditahan dalam Op Pemandu Warga Asing(PeWA) di Pandan Indah di sini semalam.

Lelaki berusia 30 an itu ditahan anggota JPJ selepas dilihat memandu lori sampah dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi berkata, ketika ditahan, pelbagai alasan diberikan selain cuba melarikan diri namun sempat dihalang anggota JPJ yang menaiki motosikal.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Operasi dijalankan hari ini memfokuskan kepada penunggang serta pemandu warga asing yang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Operasi ini melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang mana turut menjalankan tindakan terhadap warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akbar selepas Ops Pemandu Warga Asing(PeWA) di Pandan Indah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Raja Nur Syuhaidah, hasil risikan mendapati pelbagai kesalahan dapat dikesan yang dilakukan oleh pemandu warga asing terutama bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu di Malaysia dan lesen memandu tamat tempoh.

Tambah beliau, sebanyak 23 kenderaan disita dalam operasi ini.

“Antaranya melibatkan empat buah lori, 18 buah motosikal serta sebuah kereta.

“Kesalahan yang dikesan melibatkan tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan perdagangan, dan insurans tamat tempoh dengan keseluruhan sebanyak 79 notis saman yang dikeluarkan,” jelasnya.

Menurutnya, pihak JPJ mendapati kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing adalah milik warga Malaysia.

“Semua pemilik kenderaan diingatkan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing.

“Sekiranya terdapat kesalahan yang dikesan, pemilik juga akan dikenakan tindakan oleh pihak JPJ dan kenderaan boleh disita dibawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Kata beliau, pemilik kenderaan juga diingatkan tidak mengubah suai sewenang-wenangnya kenderaan.

“Pemilik tidak dibenarkan mengubahsuai dengan menambah roda tiga pada kenderaan seperti motosikal yang membawa kepada kesalahan teknikal di bawah Seksyen 6(1) (Larangan bagi kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi kenderaan yang tiada perlindungan insurans, akan diambil tindakan di bawah Seksyen 90(1) (Pembawa kenderaan motor hendaklah diinsuranskan terhadap risiko pihak ketiga) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Cubaan pemandu lori warga asing lari dari JPJ gagal
SEBAHAGIAN kenderaan dan motosikal diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di Pandan Indah, Ampang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*