Cuba terjun bangunan selepas tikam isteri, ibu mentua

Cuba terjun bangunan selepas tikam isteri, ibu mentua.

Seorang lelaki menikam isteri dan ibu mentuanya dengan dua bilah pisau semalam dipercayai kerana selisih faham di sebuah rumah di Chabang Empat.

Lelaki terbabit cuba terjun dari tingkat 31 sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu dipercayai tertekan dengan perbuatannya.

Dalam kejadian jam jam 6.35 petang semalam, isteri lelaki terbabit yang berusia 20-an cedera dan retak di kepala dan beberapa bahagian badan manakala ibu mentuanya yang berusia 60-an luka di kepala akibat ditikam suspek.

Turut baca

Selepas mencederakan isteri dan ibu mentuanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dipercayai melarikan diri dan cuba terjun dari bangunan dalam pembinaan itu jam 10 pagi  tetapi berjaya diselamatkan sepasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima laporan daripada bomba jam 10.14 pagi mengatakan seorang lelaki cuba terjun dari bangunan itu.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki itu ada kaitan dengan kes yang mendatangkan kecederaan dua beranak itu semalam.

“Hasil siasatan, suspek menikam isteri dan ibu mentuanya dengan dua bilah pisau di rumah mereka jam 6.35 petang semalam.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan isterinya. Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau bersabit dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*