Cantas bendera parti politik, lelaki dipenjara 12 bulan

Cantas bendera parti politik, lelaki dipenjara 12 bulan. Gagal membayar denda, seorang lelaki dipenjara 12 bulan selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat mencantas 50 batang bendera parti politik pada 14 November lalu.

Tertuduh, Burhanuddin Hussain, 41, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan khianat mencantas bendera parti politik di tepi jalan Kampung Alor Parit, Jalan Bukit Raya, Pendang, antara jam 10 pagi hingga 11.30 pagi sehingga menyebabkan kerugian RM1,600.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Sabirah Ramli.

Sabirah kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan tertuduh adalah duda yang hanya berpendapatan RM1,200 sebulan selain perlu menyara anak perempuan berusia 17 tahun dan ibunya berusia 77 tahun.

Bagaimanapun, Asmaa’ memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh yang bekerja sebagai juruelektrik memandangkan kes berkenaan membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman denda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, tertuduh gagal membayar denda berkenaan dan dihantar ke Penjara Pokok Sena bagi menjalani hukuman penjara yang ditetapkan.

Turut baca :

Cantas bendera parti politik, lelaki dipenjara 12 bulan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*