Ahli MKT Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pihak berkuasa seakan perlahan dalam bertindak menangkap dan membawa balik penjenayah komersial yang melarikan diri ke luar negara.
“Nampaknya SPRM dan PDRM kena belajar kaedah baru mengesan dan membawa balik penjenayah VIP yang melarikan diri untuk didakwa.
“Intel dua agensi penguatkuasa ini masih ketinggalan dalam bab pelarian komersial taraf VIP,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Puad antaranya menyentuh mengenai kes Adlan Berhan, menantu kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang melarikan diri ke luar negara kira-kira setahun lalu.
“Rakyat tidak teruja bila SPRM kata mereka ada petunjuk baru di mana menantu Muhyiddin Yassin bersembunyi.
“Apa yang mereka mahu ialah bila Adlan Berhan akan dibawa balik dan didakwa,” kata Puad.
Selain Adlan, yang berkahwin dengan anak Muhyiddin, Nabilah, SPRM juga sedang memburu peguam Mansoor Saat, seorang tokoh penting dalam NERS Sdn Bhd.
Agensi pencegahan rasuah itu mendakwa mereka dikehendaki berhubung projek yang melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing. Kedua-dua mereka melarikan diri dari negara pada Mei tahun lalu.
Susulan itu, SPRM telah meminta bantuan polis untuk meletakkan nama kedua-dua mereka dalam senarai notis merah Interpol.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 25 April lalu berkata pihaknya mempunyai petunjuk baru keberadaan Adlan yang dikehendaki atas dakwaan rasuah.
Potensi lokasi Adlan dikesan melalui transaksi kad kredit milik ahli perniagaan itu, kata Azam menjelaskan SPRM sedang mendapatkan bantuan daripada Interpol untuk mengesannya.
Dalam pada itu, Puad juga membangkitkan mengenai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Low yang bertahun-tahun dikehendaki atas peranannya dalam skandal 1MDB.
“Jho Low sudah bertahun hidup mewah di luar negara.
“Rakyat jemu mendengar alasan” kata Puad lagi.
Sebelum ini, bekas wartawan Wall Street Journal, Wright dan Hope mendakwa mereka telah menerima banyak maklumat yang menunjukkan bahawa Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara lain, mereka mendakwa Jho Low dilihat di Disneyland, Shanghai, pada 2019, dan isterinya Jesselynn Chuan Teik Ying memohon untuk menyertai Kelab Kapal Layar Diraja Hong Kong pada 2018.
Turut baca :
Leave a Reply