Mempunyai gigi rongak selalunya sering menjadi bahan lawak atau ejekan. Dah tentu juga selalunya kita akan menemui doktor gigi untuk memperbaiki keadaan gigi yang rongak itu.
Jika ia keadaan yang agak memalukan rupa penampilan bagi kita di sini, namun berbeza di Afrika Selatan. Bagi lelaki di sana yang memiliki gigi seperti itu terutama di kawasan Cape Flats yang terletak dalam daerah Cape Town, lelaki yang bergigi rongak tidak akan dipeleceh orang sekeliling. Sebaliknya, mereka dianggap sebagai lelaki kacak, macho dan maskulin.
Tahukah anda, para wanita di wilayah itu sukakan lelaki yang mempunyai gigi rompong di depan. Bahkan, lelaki yang barisan giginya lompong ini amat digilai dan dikatakan senyuman mereka yang ‘tidak cukup pagar’ ini lebih mudah membuat wanita tertarik.
Disebabkan itu juga, ada yang sanggup membuang tiga hingga empat batang gigi hadapan mereka yang masih sihat dan kuat. Lelaki yang berani membuang gigi hadapan ini dikatakan layak di kategori sebagai pemuda macho. Tidak hanya itu, jejaka yang menggayakan gigi tersebut juga dianggap lebih kacak, tampan dan bergaya. Mereka inilah lelaki yang menjadi idaman dan pujaan hati para gadis di sana.
Kerana itu, tidak hairan jika mudah dilihat pada lelaki di di wilayah itu bersungguh-sungguh menyengih dan tersenyum, tanpa sedikit pun rasa malu untuk menunjukkan gigi rongak mereka. Ia seolah-olah seperti satu isyarat untuk memberitahu kepada orang ramai, terutama para gadis bahawa mereka ialah lelaki tampan dengan gigi rompong yang dicari-cari selama ini.
Tradisi gigi rongak di Cape Town juga disebut sebagai ‘Cape Flats Smile’. Asalnya, ia merupakan satu amalan tradisi yang dimulakan sejak lebih 60 tahun dahulu. Tradisi ini dikatakan bermula di kalangan nelayan yang tidak dapat berkomunikasi sesama mereka di atas kapal. Jadi mereka mencipta jurang gigi sebagai memudahkan untuk bersiul, seterusnya dapat berkomunikasi dengan berkesan.
Demikian menurut pakar di Jabatan Biologi Manusia dari University of Cape Town’s, Jacqui Friedling yang mengkaji fenomena tersebut pada tahun 2003. Beliau berkata, pengubahsuaian gigi di Afrika awalnya hanya diamalkan oleh suku kaum tertentu saja. Namun akibat perubahan masa, amalan itu telah menjadi trend dan fesyen yang semakin diminati di kalangan pemuda di wilayah itu.
Golongan lelaki muda di situ yakin dengan penampilan gigi hadapan yang rompong itu dipadankan pula fesyen topi dan pakaian ala hip-hop, mampu mencairkan hati para gadis yang melihatnya. Bagi mereka, gigi rongak ialah fesyen. Ia merupakan satu perkara yang bergaya untuk dilakukan.
Menurut Jacqui, gaya itu disukai para pemuda di wilayah itu disebabkan tekanan daripada rakan sebaya. Dan cara untuk melepaskan tekanan itu adalah dengan mencabut gigi depan.
Dalam temu bual dengan lebih dua ribu lelaki di kawasan itu yang pernah dilakukan berkaitan budaya ini, sebanyak 41 peratus telah mengubahsuai gigi mereka dan 44.8 peratus di antaranya ialah lelaki. Sebanyak 42 peratus yang melakukannya berpunca daripada tekanan rakan sebaya. Manakala 10 peratus pula didorong oleh amalan samseng – salah satu masalah yang sinonim di Cape Flats.
Menurut doktor dari Fakulti Pergigian di University of the Western Cape, Rob Barry, amalan itu telah meningkat, walaupun larangan mencabut gigi yang sihat telah pun dikeluarkan. Malah, setiap minggu beliau mendapat permintaan untuk merompongkan gigi.
Mereka yang datang melakukannya bukan saja di kalangan lelaki, kaum wanita juga berbuat demikian. Golongan ini biasanya meminta doktor untuk mencabut gigi depan yang sihat, sekali gus membuat gigi palsu. Gigi palsu ini pula akan dipakai semasa kerja atau ketika menghadiri urusan rasmi.
Untuk gigi palsu, jelas Barry, kadangkala mereka menghiasinya dengan menambahkan cebisan emas, berlian atau platinum dalam pelbagai bentuk. Cara ini kononnya dapat menaikkan status sosial. Disebabkan itu juga, tidak hairanlah banyak kes melibatkan kecurian gigi palsu turut dilaporkan terutama selepas berlaku pergaduhan.
Turut baca :
Leave a Reply