Isu pengampunan Najib : Ada ketua bahagian mahu Umno tarik diri daripada kerajaan perpaduan

Timbul gesaan agar Umno menarik balik sokongannya daripada kerajaan perpaduan pada perjumpaan tertutup khas semalam antara presiden parti, Zahid Hamidi dan ketua-ketua bahagian semalam.

Pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu berkata, segelintir ketua bahagian menyokong gesaan itu selepas bekas perdana menteri Najib Razak gagal mendapat pengampunan penuh berhubung kes SRC International.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah menarik diri daripada kerajaan perpaduan “berisiko” untuk parti itu.

“(Umno) ketika ini bukan dalam kedudukan yang baik. Kita akan hilang kekuatan dan kuasa tawar-menawar jika menarik diri daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kumpulan ketua bahagian turut menghubungi Zahid secara peribadi berhubung perkara itu.

“Kumpulan-kumpulan ini tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana gagal membantu parti mendapatkan semula Najib,” katanya.

Cadangan menarik diri daripada kerajaan ini bukanlah kali pertama bagi Umno. Pada Julai 2021, Umno turut menarik sokongan daripada kerajaan sebagai protes terhadap cara perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, menguruskan wabak Covid-19.

Seorang lagi ketua bahagian, yang juga enggan namanya disiarkan berkata, wujud ketegangan dalam parti, terutamanya dalam kalangan penyokong Najib.

“Mereka berharap Najib dapat pengampunan penuh, tetapi itu tidak berlaku,” katanya.

“Kebanyakan antara mereka pada mulanya setuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dengan harapan Najib akan diampunkan, sepertimana Anwar.”

Pada Ahad, FMT melaporkan bahawa 191 ketua bahagian telah diarahkan mengumpul sejuta tandatangan untuk petisyen memohon pengampunan penuh diraja buat Najib.

Ini susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan hukuman Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Umno berkata, pihaknya sedih dengan keputusan itu, namun menghormatinya.

Parti itu juga berkata, ia akan terus menuntut keadilan untuk Najib mengikut undang-undang.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*