TAHUN 2008, saya masih menetap di Pengkalan Hulu, Perak, bersama-sama dengan mak ayah serta adik-beradik. Ketika itu, usia saya awal 20-an dan bekerja sebagai krew produksi di sebuah syarikat yang beroperasi di Baling.
Setiap hari bekerja, saya dan kakak akan lalu merentasi dua puncak gunung untuk sampai ke pekan Baling. Laluan itu dikenali sebagai Lebuh Raya Gunung Inas.
Suatu hari, saya pulang ke rumah agak lewat. Selalunya pukul 7.00 malam saya sudah sampai ke rumah. Namun hari itu saya agak sibuk menyiapkan suntingan video. Dalam tidak sedar jam dinding sudah menghampiri pukul 10.30 malam.
Saya terfikir perjalanan pulang yang agak jauh dan gelap. Segera saya berkemas dan mengajak kakak saya yang sudah menunggu dari petang untuk pulang ke rumah.
Enjin motosikal saya hidupkan. Tanpa berlengah kami terus meredah laluan yang sudah mula sunyi. Perjalanan dari tempat kerja ke jalan besar agak gelap kerana kawasan tersebut berada agak jauh ke dalam. Jalan yang lebarnya hanya mampu memuatkan sebiji kereta tampak suram, hanya dicurahi cahaya malap lampu motosikal saya.
Sesampai di pekan Baling, suasana sunyi sepi. Pintu-pintu kedai sudah tertutup rapat dan kami hanya ditemani cahaya lampu jalan. Kenderaan kiri kanan tidak kelihatan. Hanya sesekali terlintas sebuah kereta, tidak kelihatan kelibat penunggang motosikal seperti kami.
Selepas kira-kira 10 minit perjalanan, kami sampai di kaki Gunung Inas. Gunung Inas mempunyai dua puncak yang perlu dilepasi sebelum sampai ke Pengkalan Hulu.
Bukit pertama tanpa sebarang masalah kami mendaki dan turun dengan laju dan mudah. Namun, apabila kami mula menjejak kaki bukit yang kedua, motor mulai perlahan dan terasa berat sehingga saya terpaksa memulas minyak sehabisnya bagi melajukan pergerakan motor.
Apa yang membuatkan kami berdua kebingungan, kami baru saja turun bukit pertama. Selalunya, motor tidak akan mempunyai masalah dan akan lebih ringan membuatkan saya mudah untuk mendaki bukit kedua.
Tetapi malam itu lain jadinya. Lajak yang dikumpul dari turun bukit pertama seperti sia-sia, malah motor kami seperti ingin turun kembali ke belakang sehingga saya terpaksa memulas minyak sambil kaki menolak lantai jalan raya supaya motor boleh terus mendaki.
Bunyi ngauman ekzos motor kuat membelah kesepian malam itu. Beratnya bukan kepalang. Ketika itu, kakak yang membonceng di belakang saya hanya memandang ke sebelah kanan jalan. Dia tidak menoleh langsung ke sebelah kiri kerana di bahagian kiri disajikan dengan pemandangan gaung.
Tiba-tiba kakak menarik baju saya dari arah belakang dan menekup mukanya menggunakan kedua-dua belah tangannya seperti ketakutan. Tersentak dengan tindakan itu, saya menoleh ke belakang dan bertanya, kenapa?
Selepas saya bertanya, saya terus toleh ke hadapan semula. Terus berderau darah saya akibat terkejut apabila tiba-tiba satu kelibat hitam melintasi hadapan saya. Pergerakannya pantas namun terapung, tidak jejak bumi.
Lembaga itu pantas melintas di depan motor saya dan terus menuju ke gaung. Lembaga hitam itu betul-betul berada di hujung kepala lampu motor, namun hanya nampak samar-samar.
Lokasi di mana lembaga itu melintas tidak jauh dari sebuah hentian rehat terbiar. Walaupun terkejut, tapi saya teruskan juga menunggang motor. Tidak berani saya berhenti di situ.
Hanya setelah sampai di kawasan hentian rehat itu, barulah motor saya berubah jadi ringan seperti biasa. Hentian rehat itu juga agak menyeramkan, sudah lama tidak digunakan. Rumput lalangnya sudah setinggi paha orang dewasa. Pintu bagi setiap unit kedai ada yang terbuka dan tertutup. Kawasan sekitarnya dipenuhi dengan botol-botol arak dan sampah sarap.
Tanpa mengendahkan apa yang baru berlaku, kami teruskan perjalanan sambil mulut saya kumat kamit membaca surah-surah yang terlintas dalam kepala. Kakak pula berdiam dan masih menutup mukanya dengan baju saya sehingga kami sampai ke papan tanda yang menandakan kami sudah sampai ke Pengkalan Hulu. Barulah dia melepaskan genggaman baju saya.
Bila hampir sampai ke rumah, saya bertanya pada kakak, apakah dia nampak apa yang saya nampak tadi. Jawab kakak perlahan, “Sampai rumah nanti kita cakap.”
Keesokannya, kami berdua demam sehingga terpaksa mengambil cuti selama dua hari. Hanya selepas dua hari baru kakak membuka cerita. Katanya, sebelum lembaga itu melintas, dia ternampak seperti satu sosok tubuh hitam pekat di sebelah kanan bahu jalan memandang kami. Sebab itulah dia menarik baju saya dan menekap mukanya.
Selepas itu, saya tanya kisah jalan di situ daripada penduduk setempat. Kata orang, kawasan jalan di Gunung Inas itu telah banyak meragut nyawa, sama ada atas kecuaian sendiri mahupun diganggu makhluk-makhluk lain.
Orang kampung sekitar kawasan itu tidak berani untuk melalui jalan di situ pada waktu malam sekiranya tidak ada perkara penting kerana mereka sudah masak dengan kejadian-kejadian aneh yang sering berlaku di atas lebuh raya lama Baling – Grik tersebut.
Sejak kejadian itu juga, kami pastikan akan pulang sebelum pukul 7.00 malam. Sumpah, saya tak berani untuk menunggang di laluan itu pada malam hari lagi. Takut bertembung dengan makhluk lain pula!
Yurut baca :
Leave a Reply