‘Bersih’ lagikah Perikatan Nasional?

KETIKA berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) sering melemparkan label ‘penyamun’ dan ‘perompak’ terhadap UMNO bagi menjejaskan kredibiliti parti itu dalam kalangan pengundi.

Antara yang berulang-ulang kali membuat tuduhan tersebut ialah Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam siri ceramahnya pada PRN Johor, Muhyiddin pernah membuat lawak hambar bahawa beliau terlupa meminta penduduk Bukit Kepong menutup pintu dan tingkap rumah semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat tempat mereka.

Beliau membuat sindiran itu kerana kononnya ‘pencuri’ sudah datang ke kampung mereka.

Tuduhan ‘penyamun’ dan ‘perompak’ terhadap pemimpin-pemimpin UMNO tetap diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menghasut rakyat agar tidak mengundi Barisan Nasional (BN).

Pada masa yang sama, PN menjual slogan ‘Bersih dan Stabil’ atau akronimnya PN BEST kepada para pengundi untuk menunjukkan bahawa gabungan politik itu ‘bersih’ daripada penyelewengan dan salah guna kuasa serta berupaya membawa kestabilan kepada negara.

Memang ramai rakyat khususnya golongan muda yang kali pertama mengundi termakan hasutan itu dan kesannya dapat dilihat dari keputusan PRU-15 yang menyaksikan BN beroleh keputusan terburuk dalam sejarah.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah membekukan akaun-akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Selagi mahkamah belum menjatuhkan hukuman, pemimpin-pemimpin Bersatu bebas untuk membuat penafian, walaupun mereka sendiri pernah secara semberono melabelkan pemimpin-pemimpin UMNO sebagai ‘perompak’ dan ‘penyamun’ ketika kes masih dalam perbicaraan.

Namun, mereka pasti tahu dan sedar bahawa politik persepsi memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi sokongan rakyat terhadap mana-mana parti politik, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dalam masa beberapa bulan lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*