Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan harga gula pasir tidak akan dinaikkan dan bekalannya akan kekal cukup di pasaran di sebalik kenaikan harga gula dunia dan gas asli.
Katanya lagi, kerajaan tidak bercadang menaikkan harga bahan mentah itu walaupun banyak berita palsu disebar, kononnya harga gula akan dinaikkan sehingga RM4.60 sekilogram dalam masa terdekat.
Peniaga, Muhammad Amir Irfan Junaidi, 26, berkata bekalan gula pasir mula berkurangan selepas sambutan Aidilfitri bulan lalu.
“Sebelum Aidilfitri, tiada masalah dengan bekalan gula pasir, namun beberapa hari selepas Aidilfitri, mula timbul masalah bekalan semakin susut apabila pembekal tidak dapat menghantar bekalan.
“Oleh itu kami mengehadkan pembelian tiga kilogram gula sahaja bagi seorang pelanggan sehinggalah stok gula di kedai ini habis.
“Disebabkan tidak menerima bekalan, saya terpaksa cari daripada pembekal gula lain namun sehingga hari ini saya belum mendapat bekalan,” katanya.
Tinjauan di sebuah pasar raya di sini pula mendapati, ada peniaga dari Kubang Pasu, Kedah sanggup datang ke sini untuk mendapatkan bekalan gula, rata-ratanya juga percaya akan berlaku kenaikan harga gula pasir tidak lama lagi.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Norazah Jaapar, mengakui memang ada pembelian panik dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
Katanya, pihaknya juga turun padang membuat tinjauan selepas tular kononnya gula super atau gula putih premium lebih banyak di pasaran.
- Turut baca : Pembangkang hanya ‘langau’ politik – Salahuddin
“Seperti dimaklumkan Datuk Seri Salahuddin sebelum ini, gula super atau gula putih premium belum ada di pasaran dan sebarang pengenalan gula baharu di pasaran perlu mendapat kelulusan KPDN terlebih dahulu.
“Malah, jaminan juga diberi bahawa harga gula putih bertapis tidak dinaikkan kerana ia adalah barangan kawalan berjadual yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.
Beliau berkata, harga kawalan runcit semasa bagi gula putih bertapis pek satu kilogram adalah RM2.85 bagi gula kasar dan RM2.95 bagi gula halus.
Sepanjang bulan ini sehingga 20 Mei, katanya, pemborong di negeri ini menerima bekalan dari MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) sebanyak 280,000 kilogram (kg).
Bekalan gula diterima oleh pemborong dari Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) pula 103,680 kg, menjadikan jumlah gula putih bertapis diterima Perlis setakat 20 Mei lalu adalah sebanyak 383,680 kg.
Awal bulan ini, media melaporkan isu kekurangan bekalan gula di Pantai Timur dan Kedah menyebabkan rakyat resah, bimbang harga bahan mentah itu bakal dinaikkan, disusuli baru-baru ini, tular gambar kononnya harga baharu gula didakwa RM4.60.
Salahuddin pada 12 Mei lalu dilaporkan berkata, bekalan gula di Pantai Timur telah pulih dan dikenal pasti akibat penutupan sementara kilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd di Johor dan Perai, Pulau Pinang.
Leave a Reply