‘Berilusi’ MN masih wujud, isyarat jelas PAS tidak yakin Muhyiddin – Salahuddin

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan tindakan PAS tidak mempedulikan reaksi Umno selepas pujukannya untuk mengaktifkan semula Muafakat Nasional (MN) dibalas tuba, umpama hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong.

'Berilusi' MN masih wujud, isyarat jelas PAS tidak yakin Muhyiddin - Salahuddin
Salahuddin Ayub

Katanya, tidak mustahil PAS meninggalkan Bersatu dan kembali “berpelukan dengan Umno” selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana sekumpulan individu dalam parti itu terlalu takut kehilangan jawatan dan kuasa.

“Meneliti kebarangkalian ini, saya ingin bertanya kepada penyokong Bersatu yang ikhlas meninggalkan Umno kerana bencikan rasuah dan kebobrokan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN), adakah mereka merelakan negara ini diperkotak-katikkan lagi dengan permainan Umno-PAS ini?” soalnya dalam kenyataan.

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan Umno/BN bergerak solo dalam PRU15 hasil sikap PAS sendiri yang hanya menawarkan kerjasama politik “dangkal” dalam MN.

Katanya, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin kerana PAS menjalin hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan Umno dari luar dan dalam.

Reaksi Zahid itu menyusul kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan MN dibubarkan, begitu juga Umno, oleh itu platform penyatuan ummah terbabit perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu, Islam dan masa depan negara.

Dua parti Melayu terbesar itu membentuk MN pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam, tetapi PAS pada Disember 2021 menolak gagasan MN, jika Umno enggan menerima Bersatu dan NGO menyertai gagasan itu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain, termasuk Bersatu dan NGO.

Kemudian, Zahid pada 2 Ogos lalu mengajak PAS mengadu kekuatan dalam PRU15 dahulu, sekiranya ingin bercakap mengenai kerjasama. Katanya, jika PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.

Salahuddin berkata, kenyataan pimpinan PAS beberapa hari lalu yang terus berilusi MN masih wujud ialah isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Muhyiddin Yasin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Tambahan, katanya, PAS memilih untuk memfokuskan 27 kerusi yang mungkin bertembung dengan Umno sehingga mahu menamakannya “kerusi MN” secara tidak langsung menunjukkan parti itu mementingkan diri dan akan meninggalkan Bersatu terkontang-kanting.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat yang ikhlas menolak Umno demi Malaysia lebih baik supaya menyokong gerakan yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan negara ke landasan tepat demi pemulihan ekonomi, pendidikan, membasmi kemiskinan dan mewujudkan pentadbiran negara yang bersih serta berintegriti.

“Hanya PH yang mempunyai wawasan jelas dalam mengangkat kembali maruah bangsa Malaysia di mata dunia berbanding PN dan BN yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan politik kepartian sahaja.”

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*