Susulan kejadian benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok pecah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera berjumlah RM6 juta bagi mengatasi perkara itu.
Menurutnya terdapat cadangan supaya dibina tiga alur limpah termasuk di lokasi benteng yang pecah berkenaan.
“Benteng yang pecah itu saya tak tahu puncanya tetapi ada langkah yang dicadangkan dibuat benteng sementara (alur limpah) diminta dilakukan di tiga tempat.
“Jadi sekitar RM2 juta setiap tempat termasuk di benteng pecah itu dan dua di tempat lain. Jadi permohonan RM6 juta tambahan itu saya luluskan segera dan ini boleh dilakukan dengan cepat tidak seperti mana projek yang lain,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, di Kelantan hari ini.
Turut baca :
- {VIDEO} ‘Benteng Puaka’ menghantui penduduk Rantau Panjang
- Kerani berdepan 133 tuduhan pecah amanah lebih RM400,000
Terdahulu Anwar diiringi Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PSS) di sekolah tersebut.
Semalam Malaysiakini melaporkan benteng yang terletak di Kampung Lanchang, Pasir Mas, itu pecah akibat arus deras banjir yang melanda kawasan itu.
Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata ia membabitkan benteng pecah dengan kelebaran kira-kira 20 meter.
“Kita mendapat maklumat benteng projek PLSB itu pecah pagi semalam akibat paras air Sungai Golok begitu tinggi.
“Benteng PLSB ketinggiannya 10 meter lebih, manakala air Sungai Golok semalam mencecah 11.03 meter. Arus yang begitu deras menyebabkan benteng berdekatan Kampung Lanchang pecah,” katanya.
Untuk rekod, benteng PLSB menjadi rungutan penduduk sekitar Rantau Panjang yang mendakwa projek itu menjadi punca kekerapan banjir termasuk banjir termenung di kawasan itu.
Leave a Reply