Bayi lemas terlepas dari pegangan bapa ketika berkayak di Sungai Baling

Bayi lelaki berusia setahun tujuh bulan yang ditemukan lemas di Sungai Ketil, Lubuk Pedati, dekat sini dipercayai menaiki kayak bersama bapanya sebelum terlepas dari pegangan lelaki itu.

Bayi lelaki yang lemas itu dikenali sebagai Adryan Mikhael Muhammad Afiq.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat, bapa mangsa berusia 30 tahun dipercayai tergelincir sebelum bayi itu terlepas dari pegangannya dalam kejadian 11.50 pagi tadi.

Beliau berkata, bayi berkenaan kemudian dihanyutkan air sehingga ke Kampung Sungai Limau, di sini.

“Ketika kejadian, ibu mangsa bersama ahli keluarga dan rakan turut berada di tempat kejadian.

“Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12 tengah hari sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling serta anggota Balai Polis Baling,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Shamsudin berkata, mayat bayi berkenaan ditemukan pada 12.45 tengah hari dengan bantuan orang awam dan penduduk kampung di Kampung Sungai Limau.

Beliau berkata, mayat Adryan Mikhael dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*