Bapa ‘durjana’ rogol anak tiri sejak 2021 dicekup polis

GERIK – Perbuatan keji seorang lelaki merogol anak tirinya yang berusia 11 tahun sejak tiga tahun lalu terbongkar, selepas dia diberkas polis kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas susulan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 12.30 tengah hari, hari sama.

Katanya, mangsa memberitahu kejadian menimpanya kepada guru kaunseling di sekolahnya yang dia telah dirogol suspek sejak berusia sembilan tahun.

“Berdasarkan siasatan, kali terakhir suspek melakukan perlakuan terkutuk itu di sebuah pondok di dalam kawasan kebun di Air Ganda pada pukul 3 petang, Selasa lalu.

“Kanak-kanak perempuan itu telah pun dibawa untuk pemeriksaan oleh doktor pakar kanak-kanak di Hospital Taiping dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan koyakan lama pada bahagian kemaluan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek yang bekerja sebagai petani itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol. Sebaik sahaja siasatan selesai, kita akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*