Azam dakwa CPI bukan penunjuk situasi sebenar rasuah negara

Azam dakwa CPI bukan penunjuk situasi sebenar rasuah negara.   Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak menggambarkan kedudukan sebenar gejala rasuah di negara ini kerana bersandarkan persepsi dan tinjauan beberapa organisasi.

Beliau memberi alasan bahawa ada beberapa kajian turut mengkritik CPI itu yang dijadikan sebagai penunjuk dan pengukur rasuah dalam masyarakat dan tahap usaha memerangi rasuah di sesebuah negara.

“Rasuah di negara ini dilihat jauh lebih teruk, berbanding negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia atau Vietnam.

“Jika dilihat CPI 2021, Malaysia sebenarnya beroleh markah kedua tertinggi selepas Singapura di Asia Tenggara, 48 dan di kedudukan ke-62 diikuti Vietnam, 87, Indonesia, 96 dan Thailand, 110.

“Kita tidak berbangga dengan kedudukan itu, bahkan kita perlu dan boleh melakukan yang lebih baik. Inilah contoh bagaimana persepsi tidak selalu mencerminkan fakta dan realiti,” katanya menurut Astro Awani.

Bagaimanapun, kedudukan CPI itu juga tidak boleh ditolak sepenuhnya dan usaha untuk memerangi pemikiran tersebut perlu dilakukan segera untuk menolak rasuah dalam negara ini.

Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM sememangnya melakukan tinjauan berasaskan bukti dan tidak hanya bergantung kepada persepsi masyarakat terhadap rasuah di negara ini.

“Objektif tinjauan itu bukan hanya untuk mempamerkan kedudukan negara berbanding negara lain tetapi juga tinjauan yang holistik dan lengkap dapat membantu dalam merumuskan dan membangunkan langkah-langkah yang lebih tepat dan mantap untuk memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ‘tangan ghaib’ melibatkan sesuatu kes, pihaknya menjelaskan SPRM mempunyai limitasi tertentu bagi setiap kes dan bukan semua maklumat boleh didedahkan kepada umum.

“Ada masa yang sesuai untuk kita jawab, tidak semua persoalan perlu dijawab kerana hampir setiap hari wujud pelbagai dakwaan. Kita tidak akan mampu untuk fokus bekerja jika kita hanya sibuk untuk menjawab semua persoalan yang berbangkit.

“Tidak guna kalau dengan cara itu kita popularkan pihak lain,” katanya.

Azam dakwa CPI bukan penunjuk situasi sebenar rasuah negara
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) juga dikritik beberapa kajian.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*