Azalina : Malaysia berjaya ketepikan perintah penahanan waris Sultan Sulu

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Malaysia berjaya mengenepikan perintah penahanan yang diperoleh oleh waris Sultan Sulu kelmarin. Keputusan ini selaras dengan prinsip kerajaan untuk mempertahankan kepentingan, kedaulatan, dan kekebalan Malaysia sebagai negara berdaulat sentiasa terpelihara.

Beliau menjelaskan bahawa perintah penahanan diketepikan atas alasan hakim timbang tara Dr Gonzalo Stampa dilantik secara tak sah dan membuat penghakiman tidak sah.

“Malaysia mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Stampa dan penganugerahan tuntutan USD14.92 bilion, bersamaan RM63 bilion. Ekoran itu, mahkamah Sepanyol yang melantik Stampa membatalkan pelantikan tersebut secara retrospektif dan penganugerahan tersebut.

Pada bulan Mac tahun lepas mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan kerajaan Malaysia membayar USD14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu.

Hakim Gonzalo Stampa, dari Sepanyol, membuat keputusan tersebut tanpa kehadiran perwakilan Malaysia.

Jumlah tersebut adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Jamal al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent yang mewakili Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di mana bayaran sejumlah RM5300 telah mula dibuat.

Kerajaan Malaysia akur dengan perjanjian sehingga pencerobohan Lahad Datu dilakukan oleh pihak-pihak yang mendakwa diri sebagai waris Sultan Sulu pada 2013.

Mereka seterusnya cuba merampas pelantar minyak Petronas di luar negara ekoran dari keputusan Stampa dengan memohon untuk perintah tahanan.

Azalina menambah bahawa Malaysia seterusnya memohon kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relief sementara penahanan diketepikan. Pendengaran tersebut berlangsung pada 5 Disember.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*