Seorang pemimpin Umno mengingatkan Presiden PAS Hadi Awang supaya tidak menjadi ahli politik munafik dengan memburukkan DAP di sebalik sejarah persahabatan mereka sebelum ini.
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said mempersoalkan mengapa pendirian Ahli Parlimen Marang itu berbeza ketika ini apabila mendakwa bekas rakannya dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) sebagai ekstrem.
“Dulu boleh (kerjasama dengan DAP) sekarang tak boleh. Dulu sayang, sekarang tak sayang, tak bolehlah begitu.
“Boleh tambahkan cawangan (rakan kerjasama) tetapi janganlah tak konsisten, kenapa dulu boleh? Tiada pula isu sama ditimbulkan. Sekarang pasal tidur mimpi lain-lain, semua tak boleh.
“Itu keputusan kepada kenyataan dialah. Pada saya, ahli politik perlu jadi sangat profesional dan perlu sokong atas dasar ideologi,” katanya ditemui selepas kempen bersama Pang di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak.
Azalina turut menggesa Hadi supaya tidak menggunakan isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) atau menakut-nakutkan orang ramai dalam berpolitik.
Semalam, Hadi mendakwa DAP yang lahir daripada PAP di Singapura adalah parti ekstrem dan melampau serta mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik hingga boleh menyebabkan kekacauan di dalam negara.
Hadi turut meminta pengundi supaya tidak merasa mudah tidak keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana dibimbangi ia dimenangi parti salah.
Sebagai rekod, DAP dan PAS pernah bekerjasama di bawah Barisan Alternatif dan PR, namun kedua-duanya memutuskan hubungan pada 2015.
Turut baca :
Leave a Reply