“Apa tu kak?” – Misteri kain putih, benda melintas di jalan Simpang Renggam pada lewat malam

Siapa yang pernah melalui jalan di Simpang Renggam, Johor pada waktu tengah malam? Pernahkah anda melalui perkara aneh semasa melalui jalan tersebut?

Lima tahun lalu, saya bersama seorang rakan yang saya panggil Kak Ina melalui jalan dari Simpang Renggam menuju ke arah Renggam pada waktu malam. Ketika itu sudah hampir pukul 11.00 malam. Kawasan di situ sunyi, tambahan pula tidak ada lampu jalan. Kiri kanan pula dikelilingi ladang kelapa sawit.

Saya ketika itu memandu, menemani Kak Ina ke hospital Kluang untuk menghantar barang suaminya yang berada di dalam wad. Jalan itu lebih dekat untuk ke hospital.

Ketika melalui kawasan itu, kami sedang bersembang. Tingkap kereta kami buka untuk mengambil udara segar waktu malam. Waktu saya memandu itu, tiba-tiba sehelai kain putih yang besar terbang melintas di depan kereta.

Saya terkejut dan menjerit, “Apa tu kak?”

Kak Ina terus menyuruh menutup tingkap kereta. Kami berdua diam, tak berani berkata-kata. Badan saya menggigil ketakutan, tapi saya gagahkan terus memandu. Tak berani saya pandang cermin belakang. Dalam hati berdoa janganlah ‘benda’ tu ikut kami.

Mujurlah tak jadi apa-apa dan kami selamat tiba di hospital. Tapi saya tak berani memandu pulang malam itu. Kami berdua tidur dalam kereta berdekatan hospital. Bila hari sudah mula cerah, baru saya berani memandu pulang semula ke rumah.

Saya ceritakan kejadian itu kepada beberapa rakan. Baru saya tahu rupa-rupanya ramai juga kenalan saya yang pernah terkena semasa melalui jalan di kawasan itu.

Ramli, abang kepada salah seorang rakan saya juga pernah kena. Dia bertugas sebagai bomba. Suatu masa ketika bertugas pada sebelah malam, dia dan rakannya keluar untuk makan. Mereka dari arah Kluang menuju ke Simpang Renggam.

Di kawasan itu ada satu selekoh berbukit sebelum sampai ke jambatan. Sebaik sahaja mereka melalui selekoh berbukit itu, mereka nampak satu makhluk seperti sedang separuh mencangkung berwarna putih. Sebaik mereka suluh menyuluh makhluk itu, tiba-tiba makhluk itu terbang melintasi kereta.

Mereka berdua terus kelu. Makhluk itu benar-benar mengejutkan mereka. Rupanya seolah-olah seperti seorang wanita berambut panjang berpakaian putih. Ia hanya sepintas lalu di depan mereka.

Ada seorang uncle Cina pernah cerita kepada saya, dia juga turut diganggu di kawasan itu. Waktu itu dia baru pulang daripada melawat kilang di Kluang. Sewaktu perjalanan pulang ke rumah di Simpang Renggam, tiba-tiba sehelai kain putih terbang menghampiri keretanya.

Dummm! Kain itu melanggar cermin depan keretanya. Bunyinya seperti melanggar sesuatu benda yang besar. Keadaan itu nyaris membuatkan dia terbabas. Sejak kejadian itu, uncle Cina itu tak berani lagi lalu di kawasan itu pada waktu lewat malam.

Ada lagi beberapa kawan saya yang menceritakan benda sama. Kebanyakannya jumpa kain putih terbang atau ada benda yang terbang melintas secara tiba-tiba di situ.

Biasanya, tempat ia berlaku lebih kurang di kawasan yang sama. Berhampiran dengan sebuah tangki air lama di kawasan itu. Ramai yang kata kawasan di situ agak ‘keras’.

Dikatakan di kawasan itu bukan saja terdapat satu tangki air lama, tetapi dahulunya kawasan itu ada satu rumah agam British. Rumah itu telah dirobohkan, hanya tinggal kaki tangki air sahaja. Kenapa ia tidak dirobohkan, saya tidak tahu. Ada juga yang kata di kawasan itu ada kubur lama.

Sejak kejadian yang pernah saya alami dahulu, saya tak berani sangat nak lalu di kawasan itu pada tengah malam. Bukan kerana terlalu takut dengan makhluk begitu, tetapi lebih kepada keselamatan. Kadangkala bila kita panik atau terkejut dengan kehadiran benda-benda begitu, ia mudah membuat kita gagal mengawal pemanduan dan terbabas lalu kemalangan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*