Dua minggu hidup bagai gelandangan, Grace Edward, 37, semakin putus harapan memikirkan nasib keluarganya yang terpaksa tinggal dalam kereta usang mereka.
Hatinya luluh melihat anak lelakinya yang berusia enam tahun tidur di tempat duduk belakang dengan tidak selesa, dikelilingi beg plastik dan pelbagai kotak berisi barangan peribadi mereka.
“Anak saya merana. Dia tidak dapat tidur, sejuk dan dedar-dedar. Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantunya,” katanya.
Edward dan suaminya, Kumar Subramaniam diusir dari kediaman mereka di Puchong, Selangor pada 29 Jun lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah.
Edward berkata, sejak terlibat kemalangan motosikal dua tahun lalu, Kumar sukar bekerja untuk tempoh lama sebagai mekanik, mengakibatkan majikannya terpaksa memberhentikannya.
Dirinya pula tidak dapat mencari pekerjaan kerana perlu menjaga ibunya, 56, yang dirawat di hospital disebabkan penyakit kencing manis, kegagalan buah pinggang dan simptom long-Covid.
Turut baca
- {VIDEO} “Pentingkan diri…” Konvoi VIP lawan arus, nyaris ‘sauk’ pengguna jalan raya
- “Mungkin tiada kelulusan tinggi…” Lawa macam artis pilih kerja jadi pengawal keselamatan buat netizen hairan
- “Terasa sakit bagai ditikam…” Wanita cantik punyai dua faraj tak dapat nikmati hubungan intim
“Kami tidak mampu membayar sewa mahupun menghantar anak ke sekolah. Keadaan memang terlalu serabut,” katanya sambil menambah beliau telah cuba menjelaskan masalah dihadapinya kepada pemilik rumah, namun tidak diendahkan.
“Saya langsung tidak menjangka sesuatu seperti ini akan menimpa kami.”
Sejak diberhentikan, Kumar, 37, hanya berupaya bekerja tiga kali seminggu sebagai mekanik bebas dengan bayaran hanya RM100. Wang itulah yang digunakan keluarga kecilnya untuk membeli makanan dan petrol sepanjang seminggu.
“Selalunya saya membeli nasi dan sedikit lauk untuk anak. Saya dan suami tidak kisah makan roti saja. Anak saya juga suka ayam goreng, tetapi saya tidak sanggup memberitahunya kami tidak mampu membelinya (dan) dia masih terlalu kecil,” katanya.
Untuk merumitkan keadaan, beliau tidak dapat meminta bantuan keluarga besarnya akibat pertelingkahan yang berlarutan hampir dua dekad.
Beliau mengakui keadaan begitu sukar apabila mereka terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Setiap hari, mereka sekeluarga berhenti di stesen minyak berhampiran untuk membersihkan diri dan mengalas perut sebelum menuju ke hospital untuk melawat ibunya.
“Ibu dijangkiti Covid-19 tahun lalu dan terpaksa bergantung kepada tangki oksigen. Beliau juga hanya mempunyai satu buah pinggang (kerana kencing manis dihidapinya) dan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis,” katanya.
Ibunya juga mengalami masalah kulit bertompok-tompok dan mengelupas, yang menyukarkan pergerakannya. “Beliau tidak dapat berjalan dan memerlukan bantuan saya.”
Sejak 9 Julai lalu, Edward dan keluarganya tinggal di sebuah rumah pangsa, selepas seorang individu yang bersimpati mendapat tahu nasib yang menimpa mereka. Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara kerana mereka dijangka kembali ke kereta mereka pada Rabu.
“Amat sukar (mencari rumah) disebabkan keadaan kewangan kami. Depositnya tinggi dan kami tiada wang untuk membayarnya,” katanya yang berharap dapat mencari kediaman di Puchong, demi kemudahan mereka.
Edward dan suaminya memerlukan bantuan kewangan, pakaian dan sokongan supaya mereka dapat menghantar anak mereka ke sekolah. “Kebimbangan utama saya ialah kesejahteraannya dan saya hanya mahu dia selamat.”
Beliau juga memohon bantuan untuk membeli lampin bagi kegunaan ibunya yang sakit.
Ditanya mengenai perancangan jangka panjang, Edward berharap dapat menjual nasi lemak secara dalam talian selepas mereka mempunyai tempat tinggal.
Leave a Reply