Amy Search, Siti Nurhaliza serikan Himpunan Madani di Kedah

Dua artis terkemuka negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search bakal menyerikan Himpunan Madani yang dijadualkan berlangsung di Dataran Stargate, di sini, Jumaat ini.

Pengarah jawatan kuasa induk program tersebut, Datuk Zamri Yusuf berkata, dua artis terbabit akan membuat persembahan khas bagi menghiburkan tetamu yang hadir.

Selain itu katanya, program tersebut bakal menampilkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ia bagi memberi penerangan jelas kepada orang ramai mengenai konsep madani yang mahu diketengahkan menerusi program tersebut yang akan bermula seawal pukul 5 petang dan dijangka berakhir 11.30 malam.

“Pada sebelah petang akan ada sesi pidato daripada beberapa pihak mewakili suara anak muda, wanita, pesawah, petani dan nelayan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah di sini, hari ini.

Menurut Zamri, program diteruskan dengan sesi munajat selepas solat maghrib, diikuti sesi pidato daripada pimpinan PH dan BN peringkat negeri.

“Ia disusuli persembahan dua artis terkemuka tersebut dan seterusnya sesi pidato pimpinan peringkat nasional termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambahnya, kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir pada ke program berkenaan dan berpeluang memenangi cabutan bertuah yang disediakan dengan antara hadiahnya adalah lima buah motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda Wave,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*