Ambil dadah elak mengantuk, kejar ‘trip’ raya, dua pemandu bas ekspres dicekup

Dua pemandu bas ekspres dicekup selepas mengaku mengambil dadah untuk mengelakkan daripada mengantuk dan mengejar ‘trip’ perjalanan semasa bertugas di waktu puncak musim Hari Raya Aidilfitri pada 4 April lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 40-an itu ditahan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini ketika menunggu penumpang untuk ke Kuala Lumpur.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-dua pemandu dari syarikat yang berbeza itu positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, mereka juga mengaku mengambil dadah tersebut untuk mengelakkan daripada mengantuk kerana mahu mengejar trip sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Kedua-dua pemandu tersebut kemudian diserahkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

“Syarikat telah menggantikan pemandu lain bagi memastikan perjalanan dapat diteruskan,” katanya pada sidang media Penutup Operasi Penguatkuasaan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai di sini sebentar tadi.

Mohd. Misuari memberitahu, penahanan kedua-dua lelaki itu merupakan kes pertama direkodkan dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, operasi tersebut itu bermula 1 hingga 20 April melibatkan pelbagai agensi antara AADK, polis, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*