Sangka anak mati, rupanya 17 tahun ditipu keluarga sendiri

Sangka anak mati, rupanya 17 tahun ditipu keluarga sendiri. Seorang wanita di China yang selama ini percaya bayi lelakinya meninggal dunia, akhirnya mendapati dia ditipu oleh keluarga sendiri, lapor akhbar Daily Star semalam.

Zhang Caihong dari wilayah Jiangsu berkongsi kesedihan apabila mengetahui bahawa adik ipar sepupunya mencuri anak lelakinya selepas dia me­la­hirkan bayi itu 17 tahun lalu.

Caihong melarikan diri ke rumah sepupunya sebelum bersalin kerana bimbang bekas suami akan mencederakan dirinya.

Selepas melahirkan anak, adik ipar sepupunya menyampaikan berita bahawa bayinya mengalami kecacatan yang teruk.

Caihong mempercayai be­rita itu dan dipujuk untuk menyerahkan bayinya. Dia ditipu sekali lagi apabila wanita itu memberitahu anaknya mati kesejukan.

Selepas lebih satu dekad, Caihong baru-baru ini mendapati anaknya masih hidup. Dia berjaya menjejaki anak lelaki­nya selepas mendapat pengesahan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Remaja itu belajar di sebuah sekolah menengah, lapor akhbar South China Morning Post. Caihong mendapat tahu bahawa ibu angkat remaja itu ialah adik perempuan kepada isteri sepupunya.

Caihong kini menjalani perbicaraan di mahkamah di mana ibu bapa angkat remaja itu meminta dia membayar kos membesarkan anaknya.

Dia enggan membayar kos tersebut kerana mereka mengambil zuriatnya secara haram.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*