Meremang !!! Pelajar kongsi pengalaman ‘ngeri’ ketika lewat keluar dari sekolah

Meremang !!! Pelajar kongsi pengalaman ‘ngeri’ ketika lewat keluar dari sekolah.

Aku ingin menceritakan kisah yang berlaku kepada diri aku ketika di tingkatan 1 & 2 (2016-2017). Kisah ini berlaku dekat sekolah lama aku di Sabah. Masa tu aku sekolah di sesi petang. Aku seorang yang pendiam masa tu. Sepanjang aku di tingkatan 1 & 2, aku adalah jenis yang suka balik lewat. Semasa orang lain dah balik, aku masih berada di sekolah kerana masih ramai pelajar berada di pintu pagar sekolah. Jadi, aku balik lewat sehingga sekolah betul-betul sunyi. (kisah ini hanya berlaku di sekolah pada waktu senja).

Meremang !!! Pelajar kongsi pengalaman 'ngeri' ketika lewat keluar dari sekolah

Tingkatan 1

Kejadian ini berlaku apabila waktu balik, aku pergi ke kantin untuk duduk sementara menunggu pelajar lain balik. Masa tu kantin sudah sunyi hanya ditemani angin yang dingin. Di sebalik angin yang dingin, aku terdengar pili paip sinki di tandas lelaki terbuka. Pada awalnya aku tidak hiraukan, mungkin ada orang sedang mencuci tangan. Tiga minit kemudian, pili paip masih lagi kedengaran. Aku masa tu fikir ada orang tengah bazirkan air. Aku pun pergi ke tandas untuk memastikan apa yang berlaku tetapi tiada sesiapa di dalam tandas. Aku mula rasa tidak sedap hati ditambahkan pula rasa seram sejuk. Dengan tidak melengahkan masa, aku tutup pili paip, ambil beg dan keluar dari sekolah. Semasa keluar dari sekolah, pakcik pengawal keselamatan dari tadi memandang aku dengan wajah yang pelik. Kenapa dia pandang aku macam tu, aku tak nak ambil tahu. Aku cuma tak nak tertinggal van. Aku berlari ke tempat menunggu van yang hantar aku balik ke rumah. Apa yang berlaku tadi, aku sendiri tidak pasti. Pili paip terbuka sendiri, tapi tiada seorang pun di dalam tu.

Tempat menunggu van tu lebih kurang 1 kilometer setengah dari sekolah. Ketika lalu dekat tempat orang bermain bola, aku nampak ada seorang pakcik dengan beberapa orang remaja sedang lepak di pondok. Tetapi yang peliknya, pakcik tu tak dilayan seolah-olah mereka tidak nampak kewujudan pakcik itu. Tanpa berfikir panjang, aku pun meneruskan perjalanan dalam keadaan berpeluh menuju tempat menunggu van. Maklumlah, berlari tadi. Setibanya di tempat tersebut, van hampir meninggalkan aku. Nasib baik sempat masuk. Kalau kena tinggal, tentu kena marah dengan ibu bapa dekat rumah.

Beberapa hari kemudian, aku masih dengan tabiat aku iaitu tunggu di sekolah sementara menunggu pelajar lain dah balik. Semasa melihat pemandangan di koridor bilik KHB (Kemahiran Hidup Bersepadu), aku terdengar ada orang sedang bercakap-cakap di tingkat dua. Suara mereka jelas didengari. Aku pun melihat ke atas untuk memastikan siapa yang sedang berbual. Tetapi tiada siapa pun yang berada di tingkat dua. Kosong pula tingkat tu. Aku pun ambil keputusan untuk keluar dari sekolah. Masa nak keluar dari sekolah, tiba-tiba terdengar bunyi orang berlari berkejaran. Aku pun jerit lah, “siapa tu”. Tiada siapa pun yang menyahut. Tiba-tiba ada hentakan kaki di koridor atas, aku pun lari meninggalkan tempat tu. Setibanya di tempat menunggu van, aku bernasib baik van belum datang.

Dua bulan tiada benda pelik berlaku sehingga bulan oktober. Mata pelajaran Bahasa Melayu, cikgu membawa kami ke perpustakaan. Laluan di luar perpustakaan memang gelap sebab perpustakaan berada di depan bilik guru 3. Sepanjang berada di perpustakaan, aku hanya membaca buku dan bosan. Sedang khusyuk membaca buku, aku ternampak ada kelibat di luar perpustakaan. Aku cuba meneliti. Kelihatan seorang lelaki dengan baju berlumuran darah. Perasaan takut terus menyelubungi, meremang, memang seram kalau lihat lelaki tu. Aku tutup muka dengan buku. Bila tengok balik, ‘benda’ tu sudah tiada. Kawan aku yang duduk di sebelah melihat aku dengan kehairanan, dia tanya kenapa dengan aku. Aku hanya memberitahu yang aku terkejut mimpi jatuh dari bangunan. Kalau aku beritahu dia tentang apa yang aku nampak tadi, sudah tentu dia tidak percaya.

Peperiksaan akhir tahun pun sudah berakhir, maka ramailah dekat kelas aku yang berbual tentang cuti hujung tahun. Ada yang balik kampung, ada yang bercuti ke tempat menarik, ada yang duduk rumah sahaja. Aku cuma duduk diam di tepi tingkap sambil memandang kelas lain. Aku nampak kelas di tingkat atas pintunya sekali terbuka dan tertutup. Aku perhati pintu itu untuk memastikan adakah disebabkan angin. Sah, memang pintu tu buka tutup sendiri. Aku pun buat-buat tidur sementara menunggu waktu balik. Selepas kes tu, maka cuti hujung tahun pun tiba. Aku tidak mahu memikirkan perkara itu sepanjang aku bercuti di kampung.

Tingkatan 2

Kisah ni berlaku pada pertengahan tahun. Cikgu membawa kami ke makmal bahasa untuk belajar. Mungkin belajar di makmal bahasa lebih seronok sebab tu cikgu bawa kami untuk belajar di situ. Ianya terletak di tingkat paling atas sekali. Dekat situ juga sangat sunyi jika dibandingkan dengan tingkat yang lain. Memang mengundang rasa seram sejuk ditambah dengan persekitarannya yang gelap. Berbanding perpustakaan, persekitarannya gelap tapi sentiasa ada orang lalu lalang di situ. Apa yang aku nak ceritakan adalah tentang bilik muzik yang berada di depan bilik makmal bahasa.

Selesai belajar, kami pun balik ke kelas masing-masing. Semasa dalam perjalanan pulang ke kelas, aku terhenti kerana terdengar suara yang pelik dari bilik muzik. Lama aku tenung bilik muzik tu sampai rakan kelasku memanggil aku dari jauh untuk balik ke kelas. Aku mengambil keputusan untuk melihat bilik tu waktu balik nanti. Setibanya waktu balik, macam biasa, aku balik lewat untuk pergi ke bilik muzik tu. Aku naik secara senyap-senyap dan setelah sampai di atas, keadaan di tingkat ni memang sunyi. Aku melihat bilik muzik dari luar tingkap, gitar yang berdiri teguh tiba-tiba terjatuh. Aku pun terkejut. Macam mana gitar tu boleh terjatuh? Tiba-tiba aku terdengar orang menjerit minta tolong tetapi suara dia garau sikit, “TOLONG AKU, TOLONG AKU, TOLONG AKU. Aku pun lari lah lintang-pukang ke bawah dan terus ke tempat bas (tingkatan 2 dah naik bas). Siapalah nak tolong kalau tingkat atas sekali tu memang sunyi.

Selepas cuti hari raya dah habis, kami sekolah seperti biasa. Aku cuma duduk diam di kelas sementara orang lain bercerita tentang hari raya di kampung. Bosan juga lah masa tu hanya mampu menconteng buku sahaja. Ketika waktu balik, aku tutup pintu kelas aku dan kelas yang lain. Dari kelas aku ke kelas sebelah dan kelas seterusnya, lebih kurang enam kelas pintunya aku tutup. Tetapi selepas tutup pintu kelas terakhir, pintu kelas aku terbuka semula sedangkan aku dah tutup rapat. Mustahil angin yang menyebabkan pintu kelas aku terbuka semula. Aku rasa pelik kemudian aku berlari ke kelas aku dan tutup semula pintu. Tiba-tiba aku ternampak seperti ada seorang lelaki berada di hujung koridor memandang aku dari jauh dan masuk ke kelas terakhir tadi. Aku pun pergi lah ke kelas tu. Tapi bila sudah sampai, tiada sesiapa pula di dalam kelas tu. Bulu roma aku mula meremang, memang aku nampak ada orang masuk ke kelas ini tadi, tapi bila tengok tiada orang pula. Aku pun tutup lah pintu tu dan terus balik.

Tinggal beberapa hari lagi nak masuk cuti hujung tahun, masa tu aku dengan beberapa pelajar lepak di kantin sementara menunggu pagar sekolah tiada orang, baru kami balik. Memandangkan sudah tiada orang cuma kami sahaja di kantin, kami pun balik. Ketika nak balik aku ada merasakan sesuatu seperti ada orang memerhatikan kami. Dalam keadaan tercari-cari, aku nampak ada seorang perempuan berambut tocang melihat kami dengan tajam di tingkat sekolah paling atas sekali. Aku pun panggil lah mereka sambil tunjuk perempuan itu. Mereka hairan dengan aku, mereka tidak nampak sesiapa pun di tingkat atas tu. Aku pun suruh cepat-cepat balik takut ada benda tidak diingini berlaku.

Kisah ini berlaku setiap kali aku balik lewat di sekolah. Kisah ini aku tak pernah cerita dengan sesiapa pun sehingga hari ini termasuk rakan sekelasku. Semasa tingkatan 3, aku cuma sekolah selama sebulan sahaja di sana kemudian aku pun pindah sekolah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*