Polis, kerajaan bertanggungjawab atas kematian tahanan pada 2017. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kematian dalam tahanan lima tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, Lawyers for Liberty (LFL) berkata, hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kecuaian, penahanan melanggar undang-undang, melanggar kewajipan statutori dan serangan terhadap mangsa yang menyebabkan kematian S Balamurugan pada Februari 2017 ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
Saman sivil telah difailkan oleh keluarga Balamurugan yang diwakili Pengarah LFL, Zaid Malek manakala Peguam Kanan Persekutuan, Norfauzani Mohd Nordin mewakili defendan.
Mahkamah menetapkan satu tarikh untuk menentukan ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan dan polis, kata LFL.
Balamurugan ditahan pada 6 Feb 2017 dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang. Permohonan reman terhadapnya kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Majistret Klang pada pagi 7 Feb 2017.
Mahkamah memerintahkan polis membawa Balamurugan ke hospital untuk rawatan perubatan segera.
Bagaimanapun, menurut polis, dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam tahanan sementara pada malam 7 Feb 2017.
Bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian adalah penyakit arteri koronari dengan trauma pukulan objek tumpul.
Leave a Reply