Rio de Janeiro: Seorang wanita Brazil dan dua anaknya yang ditemukan mengalami dehidrasi dan kekurangan makanan akibat terkurung diselamatkan polis selepas 17 tahun menjadi tahanan lelaki yang juga suami serta bapa mangsa berkenaan.
Pihak berkuasa pada Jumaat menjelaskan bahawa polis dimaklumkan kes itu di kawasan kejiranan miskin di barat Rio de Janeiro.
“Dua remaja yang ditemukan adalah anak kepada wanita itu dan suspek. Mereka semuanya ditemukan dalam keadaan diikat, kekotoran dan kelaparan,” kata polis tentera Rio, yang menahan bapa terbabit, dalam satu kenyataan.
Wanita itu dan anak-anaknya, berusia 19 dan 22 tahun menurut media tempatan, dibawa ke hospital dalam keadaan dehidrasi yang serius dan kekurangan zat makanan,” kata perkhidmatan kecemasan tempatan.
Menurut laman berita Internet G1, ibu itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia dan anak-anaknya kadangkala tiga hari tidak makan dan kerap menjadi mangsa penderaan fizikal dan psikologi.
Suaminya, bernama Luiz Antonio Santos Silva, yang berkahwin dengannya selama 23 tahun, memberitahunya dia hanya akan meninggalkan rumahnya ‘apabila anda sudah mati’,” katanya.
Dalam gambar yang diterbitkan oleh media Brazil, dua anak berkenaan kelihatan lebih kecil berbanding usia kerana kekurangan zat makanan.
“Apabila kami melihat keadaan dua anak itu, kami menyangka mereka tidak akan bertahan pun walau hanya seminggu lagi,” kata seorang penduduk yang tidak disebutkan namanya di kejiranan Guaratiba, di mana keluarga itu tinggal, memberitahu G1.
Jiran memberitahu pihak berkuasa bahawa suspek diberi nama panggilan DJ kerana dia akan menghidupkan muzik untuk menutup jeritan mangsanya.
Turut baca
Leave a Reply