Edar dadah lebih 10kg, kontraktor berdepan tali gantung

Yip Simon dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah minggu lepas.

Yip Simon, 35, mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram tanpa sebarang kebenaran atau kuasa dalam mana-mana Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta Pusat Makanan Gunung Rapat Enam Enam, Jalan Raja Musa Mahadi di sini kira-kira 4.40 petang 21 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah turut membenarkan permohonan Yip untuk membuat laporan polis.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 11 Okt ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, manakala tertuduh diwakili peguam J Matthews.

Matthews ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, isteri tertuduh dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

Khamis lalu, polis dilaporkan menahan tertuduh dan isterinya warga Vietnam berusia 38 tahun dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat aktiviti mengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM2 juta.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*