Selebriti termasuk artis dan ikon tempatan dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.
Menurut sumber, individu itu dipercayai terbabit dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank tempatan bagi memperdayakan peminjam bank termasuk penjawat awam melalui pinjaman bertindih.
Sumber terbabit menjelaskan artis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan susulan penahanan lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank dalam Ops Sky baru-baru ini.
“Artis ini dibayar sehingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka untuk meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan disediakan.
“Mereka ini berperanan sebagai duta rasmi dan ada yang menerima bayaran sehingga mencecah RM400,000,” katanya pada Ahad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, selebriti terlibat akan dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan siasatan yang dijalankan.
“Siasatan menjurus kepada pembabitan selebriti ini susulan mereka ini dipercayai menerima bayaran mencecah ratusan ribu ringgit selepas dilantik menjadi duta kempen yang dijalankan.
“Buat masa ini mereka masih belum dipanggil namun dijangka ada beberapa individu (artis) yang akan kita panggil bagi membantu siasatan,” katanya pada Ahad.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM.
Baca juga :
Wanita keguguran bayi sulung keluar rumah sendirian, menangis tak tahan mulut mentua
Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung
Leave a Reply