PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengatur aksi persahabatan dengan kelab gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi pramusim akan datang.
Menerusi kenyataan di laman sosial peribadi Tunku Mahkota Ismail, pemilik kelab Harimau Selatan itu dilihat begitu serius mengangkat martabat pasukan dan mungkin bakal bertemu Les Parisiens bimbingan Luis Enrique itu pada tahun ini atau tahun depan.
“PSG 100 peratus tahun ini atau tahun depan. Banyak lagi perjanjian jangka pendek dan jangka panjang antara JDT dan PSG akan menyusul tahun ini.
“Saya dan Tim Cahill (penasihat bola sepak Tunku Mahkota Ismail) akan ke Paris untuk muktamadkan perjanjian,” katanya.
Kali terakhir JDT mengadakan aksi persahabatan dengan kelab gergasi Eropah adalah sewaktu melayan kunjungan Borussia Dortmund pada November 2022.
Sementara itu, bagi kempen pramusim yang dijadualkan bermula pada Julai depan, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan mungkin JDT akan berkelana ke Arab Saudi untuk menghadapi beberapa aksi persahabatan antarabangsa.
“Seratus peratus (ke Arab Saudi), memang sudah ada dalam perancangan,” kata Tunku Mahkota Ismail ketika menjawab soalan peminat di laman X.
Sebagai rekod, kerjasama antara JDT dan PSG sudah bertiup kencang sejak Disember lepas apabila kedua-dua kelab mengadakan beberapa siri pertemuan dan mesyuarat di Qatar atas jemputan khas Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.
Baca juga :
{VIDEO} Tebusan Palestin: Setia menanti suami selama 24 tahun
Takut dikutip ‘scammer’, mahasiswa serah barang kemas ibu RM100,000
Leave a Reply