KUALA LUMPUR: Pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Waja cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Kejadian berlaku sebaik kereta terbabit dihimpit sebuah Honda City dengan rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar mengesahkan kejadian itu dengan ketika kejadian Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju Kedah.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi membabitkan dua kenderaan dengan sebuah lagi iaitu Honda City dari Temerloh menuju Shah Alam.
“Setibanya di lokasi kejadian, Honda City dipercayai menghimpit dan menekan brek sehingga menyebabkan pemandu Proton Waja gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas.
“Akibat kejadian, pemandu dan penumpang Proton Waja berusia antara 30-an hingga 50-an cedera pada kepala dan tangan,” katanya.
Mohd Nasri berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial kemalangan membabitkan dua kenderaan itu, dengan video berdurasi satu minit 41 saat itu memaparkan kejadian bermula apabila Proton Waja dipercayai menukar lorong dari kiri ke sebelah kanan.
Honda City dari arah belakang dipandu seorang lelaki dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan itu kemudiannya mengekori rapat sebelum berlaku kejadian himpit-menghimpit antara dua kenderaan itu.
Akibat daripada itu, Proton Waja hilang kawalan sebelum terbabas.
Leave a Reply