Pemuda tak boleh lupa peristiwa kena badi mayat… Mangsa kemalangan datang ketuk tingkap

SEPERTI kebiasaan menjelang Hari Raya Aidilfitri, Amirul akan pulang ke kampung di Jeram, Selangor bersama kedua-dua ibu dan bapanya.

Namun, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan pengalamannya terkena badi mayat tujuh tahun lalu.

Kisah bermula sewaktu dia dan ibu bapa dalam perjalanan pulang ke rumah neneknya selepas menziarahi saudara-maranya yang berdekatan.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 10 malam dan mereka sekeluarga menemukan sebuah kereta dalam keadaan remuk akibat dilanggar sebuah lori pasir.

Amirul dan bapanya bertindak turun dari kereta untuk melihat dan memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan tersebut.

Menurut Amirul, dia tidak menyangka kemalangan itu menyebabkan, yang mana mangsa merupakan seorang wanita dilihat memakai pakaian putih dalam keadaan berlumuran darah.

Sebagaimana diceritakan Amirul, keadaan mangsa begitu ngeri dengan wajahnya hancur dan usus terkeluar.

Suasana yang cukup tragis di lokasi kemalangan itu membuatkan Amirul tidak sanggup untuk melihatnya lantas dia mengajak bapanya segera pulang ke rumah nenek.

Ketika pulang mereka perlu lalu di kawasan dikelilingi pokok sawit dan Amirul mula berasa tidak sedap hati.

Fikirannya mula menjadi serabut dan jiwanya sangat gelisah kerana asyik terbayangkan keadaan mayat mangsa kemalangan yang baru dilihatnya tadi.

Tidak lama kemudian, alangkah terkejutnya dia apabila ternampak sosok tubuh mangsa sedang berdiri di tepi jalan dalam gelap.

Wajah wanita itu masih mengerikan, sama seperti yang dilihat Amirul di lokasi tragedi.

“Eh kenapa ni Amirul. Pucat betul muka kamu,” kata bapanya lalu memberhentikan kereta di tepi jalan.

Menurut Amirul yang menetap di Ayer Keroh, Melaka, dia kemudian dikatakan terkena histeria tetapi dirinya sendiri tidak dapat mengimbas situasi itu.

Menurut cerita bapanya, dia asyik meracau sambil matanya memandang tepat ke luar tingkap memerhatikan hutan yang gelap.

Namun, dia berjaya ditenangkan selepas bapanya membaca potongan ayat-ayat suci al-Quran.

Selepas tiba di kediaman neneknya, Amirul terpaksa dipapah oleh ibu dan bapanya masuk ke dalam kerana keadaannya yang lemah longlai.

Bapa Amirul kemudian keluar untuk melaungkan azan dan membaca ayat Kursi sebagai ikhtiar untuk menghalang makhluk tersebut masuk ke dalam rumah.

Selepas keadaan kembali tenang, Amirul masuk ke dalam bilik untuk berehat sendirian.

Ketika dia cuba melelapkan matanya, dia terdengar suara perempuan menangis sambil mengetuk cermin tingkap biliknya dengan kuat.

“Siapa pula menangis dekat luar tu malam-malam buta ni,” katanya dalam hati.

Tiba-tiba langsirnya diselak dari luar tingkap dan Amirul melihat dengan jelas wajah mangsa kemalangan tadi membuka tingkap biliknya.

“Tolong saya Amirul…” kedengaran suara dipercayai diucapkan oleh makhluk tersebut.

Amirul menjerit ketakutan lalu pengsan di dalam biliknya sendirian sebelum disedari oleh keluarganya.

Keesokan harinya, dia dan kedua-dua orang tuanya pulang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan perubatan Islam.

Menurut ustaz yang merawatnya, Amirul sebenarnya terkena badi mayat kerana keadaan badannya yang letih sewaktu melihat mangsa kemalangan itu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*