Kertas siasatan terhadap Hadi dirujuk ke peguam negara – KPN

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah dihantar kepada pejabat peguam negara (AGC).

Bercakap kepada Berita Harian, Razarudin berkata polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu arahan daripada AGC.

“Abdul Hadi sudah dirakam percakapan pada Selasa lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita sudah hantar pada AGC (pejabat Peguam Negara), kelmarin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Selasa lalu, polis meluangkan masa sejam merakam kenyataan ahli Parlimen Marang di ibu pejabat polis Bukit Aman, di ibu negara.

Sebelum ini, Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berhubung kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan pada 20 Feb lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kesahihan 16 peruntukan jenayah syariah Kelantan.

Dalam tulisannya yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” itu, Abdul Hadi memberi peringatan kepada semua umat Islam bertujuan supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

Ini, katanya termasuk Raja-Raja Melayu yang mesti berwawasan akhirat.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah meminta semua pihak bertenang.

Baginda juga mengingatkan Abdul Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Pada 29 Februrai lalu, dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda melahirkan rasa kecewa dan berkata teguran presiden PAS itu tidak beradab serta tidak sesuai dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan menjaga adab ketika menyuarakan pandangan dan menasihati raja-raja Melayu.

Abdul Hadi kemudian mengutus warkah “menjunjung kasih” kepada Sultan Selangor sebelum disoal siasat polis pada Selasa (5 Mac).

Bagaimanapun, kandungan surat itu tidak didedahkan, dan pegawai khas Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman berkata biarlah ia hanya diketahui pihak pemimpin PAS itu dengan istana.

“Kita patut menghormati itu,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*