PARAH! Akibat berlainan parti, mayat tak dikafan, kubur digali semula

Gambar hiasan

Setujukah pembaca kalau saya katakan, politik negara kita ini sudah sampai ke tahap melampau? Melampau hingga menyebabkan fanatik, dan fanatik pula sampai ke tahap pulau memulau, fitnah memfitnah, kafir mengkafir, mengasari serta menzalimi orang lain dan sebagainya.

Ini semua rentetan perbuatan pulau-memulau dan kafir mengkafir yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Ada kejadian sembahyang dua imam dan dirikan dua masjid kerana menganggap sembahyang berimamkan orang dari parti lain sebagai tidak sah.

Malah ada yang buat dua kawasan perkuburan, enggan melawat serta menguruskan jenazah dan kebumikan jenazah isteri di tepi rumah supaya tidak bercampur dengan mayat orang parti lain. Astaghfirullah hal azim. Mayat pun dipolitikkan juga.

Bagaimanapun, ada sesetengah kita yang menafikan cerita ini. Kepada mereka ini ingin saya maklumkan, kejadian itu memang benar-benar berlaku. Saya katakan begitu sebab saya telah saksikannya sendiri.

CERITANYA BEGINI… tidak lama dahulu, seorang jiran kami di utara tanah air yang bernama Abdul Rahman, meninggal dunia. Agak susah juga hendak saya terima berita kematian Rahman itu. Sebabnya, baru pagi itu saya bertemu dengannya. Dia kelihatan sihat. Saya juga sempat menegurnya. Oleh sebab itu, punca kematian Rahman menjadi tanda tanya di hati saya.

Pagi itu, saya terus ke rumah Rahman. Saya lihat sudah ramai jiran sekampung berkumpul menunggu jenazah Rahman yang masih dalam perjalanan dari hospital. Saya terus bertanya kepada mereka, apakah sebenarnya punca kematian Rahman? Seorang daripada mereka memberitahu, Rahman meninggal disebabkan terkena racun.

Khabarnya, Rahman tiba-tiba rebah sedang meracun lalang di kebunnya. Darah mengalir keluar melalui mulut dan hidungnya. Doktor mengatakan hal itu berlaku mungkin disebabkan dia terhidu racun yang mengakibatkan kerosakan pada paru-parunya.

Sedang kami berbual, tiba-tiba Jamil, anak lelaki Rahman keluar dari rumah. Dia meminta saya pergi mencari Imam untuk menguruskan jenazah ayahnya. Sebaik sahaja saya mahu pergi, dia kembali memanggil saya.

“Panggil Imam Dolah, ya,” kata Jamil.

“Imam Husni tak boleh ke? Rumah dia lagi dekat,” balas saya.

“Jangan! Kau pergi panggil Imam Dolah,” balas Jamil.

Saya terkedu seketika. Buat apa panggil Imam Dollah yang duduk kampung sebelah, sedangkan di kampung kami pun ada Imam? Lagi pun rumah Imam Husni tidak jauh dari situ.

Sejenak berfikir, barulah saya faham. Sebabnya ialah berbeza fahaman politik. Arwah Rahman orang biru, Imam Husni orang hijau. Ish! Mati pun hendak berpolitik. Ngomel Saya di dalam hati.

Saya segera pergi ke rumah Imam Dolah. Kebetulan sewaktu saya sampai, Imam Dolah tiada di rumah. Kata anaknya, Imam Dolah ke Kuala Lumpur menziarahi anak sulongnya yang baru bersalin. Saya berpatah balik ke rumah arwah Rahman dan memberitahu Jamil tentang ketiadaan Imam Dolah.

“Habis macam mana? Nak aku panggilkan Imam Husni ke?” soal saya.

Jamil diam seketika. Dia kemudian mengeluarkan telefon bimbit lalu menghubungi seseorang.

“Tak apa. Nanti kawan aku hantarkan Imam datang,” balasnya.

Saya semakin hairan. Disebabkan politik, mereka merumitkankan perkara yang senang. Sebab itulah politik dipandang jijik oleh sesetengah orang. Perlukah berpolitik pada waktu begini? Saya termenung memikirkannya…

HAMPIR SEJAM KEMUDIAN, sebuah van jenazah berhenti di depan rumah. Jenazah Rahman diturunkan dari van dan dibawa masuk ke dalam rumah. Pihak hospital meninggalkan alat pengusung untuk mengangkat mayat. Kata pekerja hospital itu, mereka akan datang mengambilnya malam nanti.

Sebelum mengebumikan jenazah, sanak-saudara dan jiran-jiran membacakan surah Yasin buat kali terakhir untuk arwah. Saya memandang wajah seorang demi seorang jiran sekampung yang datang.

PARAH! Akibat berlainan parti, mayat tak dikafan, kubur digali semula
Tiada seorang pun jiran dari parti hijau hadir untuk menyambut ketibaan jenazah Rahman

Mengikut pengamatan saya, tiada seorang pun jiran yang beraliran parti hijau yang datang. Semua yang hadir adalah kawan-kawan seperjuangan dengan arwah. Biru belaka.

Terfikir juga di dalam hati saya, adakah penyokong-penyokong parti hijau tidak tahu, atau tidak diberitahu? Mustahil mereka tidak tahu. Pasti berita ini sudah tersebar. Setelah selesai membaca Yasin, saya mencuit bahu Jamil.

“Mana imamnya?” soal saya.

Jamil menggelengkan kepala. Dia kemudian melihat jam di tangan. Hampir pukul 12.30 tengah hari. Janji dengan penggali kubur pukul 1.00 hendak dikebumikan.

Malangnya, setelah lama menanti, imam yang dijanjikan oleh kawan Jamil tidak juga kelihatan. Saya sekali lagi bertanya kepada Jamil.

“Hendak tunggu juga ke? Dah lewat ni,” kata saya.

Jamil meminta menunggu seketika. Katanya, imam itu akan datang. Kena tunggu sedikit masa lagi. Tapi kalau Imam tidak muncul, jelas Jamil, dia sendiri yang akan menyudahkan urusan jenazah ayahnya itu.

Ketika menunggu Imam datang, saya lihat masih tidak ada seorang pun jiran-jiran dari aliran hijau datang menjengah. Mereka seolah-olah langsung tidak peduli ada kematian yang berlaku.

Disebabkan imam yang dijanjikan tidak juga muncul, Jamil meminta jenazah ayahnya dibawa terus ke kubur untuk dikebumikan. Sudah lama penggali kubur menanti. Janji pukul 1.00 sekarang sudah hampir pukul 3.00 petang. Batang hidung imam langsung tidak nampak.

PARAH! Akibat berlainan parti, mayat tak dikafan, kubur digali semula
Kubur sudah lama digali, tapi batang hidung imam masih tidak kelihatan.

Akhirnya lebih kurang jam 4.00 petang, jenazah Rahman selamat disemadikan. Apabila jenazah sudah dikebumikan Jamil sendiri yang terpaksa membacakan doa tanpa ditalkinkan mayat itu.

Sebelum semua balik, Jamil menjemput semua datang ke rumahnya malam nanti kerana dia hendak mengadakan tahlil. Selepas Isyak, saya terus ke rumahnya. Baru sahaja saya menongkat motor, saya lihat sebuah kereta Proton Waja berhenti di depan rumah Jamil.

“Maaf ganggu , encik. Saya dari hospital, saya datang nak ambil balik kain yang menutup jenazah,” kata lelaki yang berpakaian serba putih itu.

Jamil terkedu. Dia menjadi bingung. Kain apa lagi? Mana ada kain yang tertinggal. Jamil masuk ke dalam rumah dan tercari-cari kain yang lelaki itu maksudkan. Selang beberapa minit, dia keluar semula.

“Kain apa encik? Mana ada kain tertinggal,” ucap Jamil.

Kata lelaki itu, kain yang berwarna putih yang menutup jenazah arwah ayahnya. Jamil terus menggelengkan kepala , dia tidak nampak kain itu. Dia hanya nampak kain kapan sahaja yang menutup mayat ayahnya.

“Itu bukan kain kapan, cik. Mayat tu belum dikapankan lagi,” balas lelaki tersebut

“Belum dikapankan?” soal Jamil semula. Dia betul-betul terkejut.

“Ya, encik… belum,” jawab pekerja hospital.

Mendengar jawapan pekerja hospital tadi, Jamil tersentak. Suasana serta-merta menjadi kecoh. Jamil menepuk dahi. Kerana terlalu kelam kabut petang tadi, dia terlupa untuk melihat dahulu adakah jenazah ayahnya sudah dimandikan atau dikafankan.

Saya juga tidak terlintas langsung dengan perkara itu dan tidak ada seorang pun yang bertanya mengenai hal tersebut, sebab kami beranggapan mayat yang dibawa balik dari hospital biasanya sudah diuruskan segala-galanya.

Malam itu juga, kami semua terpaksa menggali kembali kubur arwah Rahman bagi memastikan adakah benar jenazahnya belum dimandikan lagi. Ketika itu semua mata tertumpu ke dalam lubang.

Kubur terus digali, sampailah nampak jenazah Rahman di dalam liang lahad. Tanpa berlengah, kain berwarna putih yang membungkus tubuh arwah diselak.

Apabila kain itu dibuka, kami ternampak kain pelikat bercorak kotak berwarna biru. Sah! Memang jenazah Rahman masih belum dimandikan. Dia masih lagi memakai kain pelikat berwarna biru dan baju berwarna kuning.

Malam itu kami terpaksa membawa jenazah Rahman balik ke rumah untuk diuruskan semula. Saya sekali lagi memberi cadangan untuk memanggil Imam Husni supaya menguruskan jenazah Rahman.

Tetapi cadangan saya tetap dibantah oleh Jamil. Dia lebih rela menghantar jenazah ayahnya ke hospital daripada diuruskan oleh Imam Husni.

“Kau ingat dia nak datang ke? Jangan harap. Sudah! Kita hantar ke hospital. Minta pihak hospital uruskan!” tengking Jamil.

Saya terus diam, tidak mahu menegangkan lagi keadaan. Disebabkan perbezaan politik, dia lebih rela membayar orang menguruskan jenazah ayahnya daripada orang kampungnya sendiri. Pihak sebelah sana juga satu hal, langsung tidak menjenguk jiran sekampungnya meninggal dunia. Bukankah itu satu fardu kifayah.

Saya yakin, politik tidak keji, orang yang menjadikan politik itu dipandang keji. Macam-macam boleh berlaku di dalam politik, sampaikan mayat pun hendak dipolitikkan juga.

Saya harap anda tidak salah faham dengan kisah yang saya kongsikan tadi. Saya bukan hendak berpolitik atau menyokong mana-mana parti. Tidak sama sekali. Sebaliknya, yang hendak saya sampaikan ialah, janganlah kita berpolitik hingga ke tahap melampau dan fanatik. Sebab saya bimbang akhirnya yang kita dapat bukannya pahala, tapi dosa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*