“CIKGU… dah pukul berapa sekarang?” entah kali yang ke berapa soalan itu diajukan kepada saya. Lelaki tinggi lampai, berkulit kuning langsat yang baru sebentar tadi ditempatkan di dalam bilik khas itu nampak sedikit gelisah.
“Sembilan setengah,” jawab saya mengerling jam di pergelangan lengan.
Mendengar jawapan yang saya berikan, lelaki tersebut mengangguk lantas duduk bertelut. Lama juga dia merenung lantai, mengeluh dan menggeleng kepala.
Saya biarkan saja. Entah apa yang difikirkannya saya sendiri tidak tahu. Mungkin berdoa agaknya atau menghitung baki jam yang tinggal sebelum menjelang subuh, dalam hati saya meneka sendiri bila melihat bibir lelaki itu bergerak-gerak.
Ah… lantaklah, bagi saya semua itu tidak penting. Apa yang penting esok Bakri akan saya usung ke bilik yang lain pula. Untuk itu saya perlu mengawasi segala tingkah lakunya, bimbang kalau-kalau dia cuba melolos atau membunuh diri. Kalau itulah yang berlaku sudah tentu saya yang akan terima padahnya.
Macam-macam lagi yang bermain di kepala saya ketika itu dan lamunan saya terhenti apabila sayup-sayup suara azan menusuk gegendang telinga.
“Allahuakbar! Allahuakbarrrr!” terketar-ketar suara Bakri berkumandang dari dalam biliknya yang hanya disinari cahaya suram.
Saya lihat Bakri sedang berdiri dengan kedua-dua belah tangannya menekap cuping telinga. Gema suaranya mendayu-dayu. Saya perhatikan lelaki itu bersolat, rukuk, sujud dan berdoa.
Begitu khusyuk Bakri mengerjakan ibadahnya Saya cuba lihat lebih dekat wajahnya dan hitung baki masa yang ada. Ya… hanya tinggal beberapa jam saja lagi.
Tidak dapat saya bayangkan apa yang sedang Bakri rasakan. Namun saya lihat wajahnya cukup tenang. Tidak ada setitik pun air mata yang mengalir. Mungkin Bakri sudah bersiap sedia.
“Maafkan saya cikgu, dah pukul berapa sekarang?” saya tersentak apabila Bakri bertanya lagi. Kalau tak silap, baru sebentar tadi soalan itu juga yang diajukannya kepada saya.
“Setengah jam lagi pukul 12.00,” jawab saya sambil memandang wajah Bakri.
Mendengarnya dia tersenyum. Bakri kembali duduk bertelut, menundukkan kepala ke lantai. Mulutnya terkumat-kamit lagi, kemudian meraup kedua-dua telapak tangannya ke muka.
SEPERTI BIASA malam itu saya berjaga sambil ditemani seorang rakan. Yakin tingkah laku Bakri tidak mencurigakan, saya ambil keputusan untuk berehat sebentar. Lagipun saya lihat Bakri begitu khusyuk mengerjakan solat. Ada ketikanya saya dengar lelaki itu turut mengaji al-Quran.
Ah… biarlah dia menghabiskan malamnya dengan berserah kepada Allah. Biarlah…
Saya cuba lelapkan mata namun entah kenapa malam itu mata saya enggan lena. Wajah Bakri asyik bermain di fikiran. Suara bisikan ayat-ayat suci yang Bakri ucapkan menusuk-nusuk gegendang telinga. Ada perasaan yang luar biasa bermain-main di dada, perasaan yang belum pernah saya rasakan sebelum ini.
Akhirnya saya bangun lalu memerhatikannya. Saya lihat lelaki itu baru sahaja selesaikan solatnya. Bakri mengalih pandangan, dengan langkah longlai dia berjalan ke arah saya.
“Kenapa cikgu pandang saya macam tu?” kali ini giliran dia pula bertanya. Tenang betul suara Bakri hingga saya yang mendengarnya tidak tahu jawapan apa yang hendak saya keluarkan.
Pinggan plastik berisi tiga ketul ayam goreng KFC dihulurkan Bakri ke arah saya.
“Makan cikgu…” pelawa Bakri. Senyuman masih terpamer di wajahnya.
Saya menggeleng kepala. “Kenapa tak makan? Kalau perut kosong susah nanti,” kata saya tidak mahu menunjukkan sangat rasa simpati yang mula bersarang di hati.
Saya lihat Bakri tersenyum tawar dan menggeleng-gelengkan kepala. “Macam mana nak makan… selera dah mati. Cikgu makanlah, saya dah kenyang,” kata Bakri perlahan. Sekali lagi lelaki itu menghulurkan ayam KFC dan buah anggur kepada saya.
Alangkah baiknya Bakri, jauh berbeza dengan penghuni-penghuni biliknya yang terdahulu. Nak dibandingkan dengan Shamsir, lagilah jauh. Shamsir, nama saja Melayu, Islam, tapi yang diminta pada saat-saat itu ialah minuman keras!
Sembahyang? Jangan harap! Berwirid? Berdoa? Jauh panggang dari api. Yang dia tahu hanyalah mencarut, maki hamun, mengata orang itu, mengata orang ini, salahkan orang itu, salahkan orang ini.
“Ambillah cikgu…” Bakri hulurkan lagi ayam KFC.
Saya menolaknya dengan sopan. Tidak mahu mengganggu Bakri, saya tinggalkannya sebaik melihat dia bersiap sedia mahu mengerjakan sembahyang. Macam-macam yang saya fikirkan, semuanya berkisar kepada gelagat Bakri dan orang yang pernah menerima nasib sepertinya.
Lama termenung tanpa saya sedari jam rupa-rupanya sudah ke angka lima.
“Maaf cikgu… hari dah siang ke?” soalan itu datang lagi.
Saya memandang Bakri yang berdiri dengan wajah sayu. Sebaik mengangguk, saya lihat Bakri segera menunaikan solat Subuh. Lama dia sujud, begitu juga ketika menadah tangan berdoa. Detik-detik yang menakutkan kian hampir. Jarum jam terus berputar, beredar dari satu detik ke detik, semakin hampir… hampir…
DDDAAAMMMM!!!! Pintu biliknya dibuka.
Tanpa diminta, Bakri keluar. Saya dan seorang lagi rakan mengiringinya ke sebuah bilik yang telah dipenuhi tiga pegawai atasan. Di satu sudut yang lain seorang pegawai undang-undang juga kelihatan sedang membisikkan sesuatu ke arah lelaki berkopiah.
Saya serahkan Bakri kepada salah seorang daripada pegawai tersebut. Sebelum berpisah sempat saya picit lengan Bakri dengan harapan dia memahami maksudnya, minta dia banyak-banyak menyerah diri kepada Allah.
Dada saya tiba-tiba berdebar bila melihat dua pegawai memeriksa tubuh badan Bakri dan saya lihat lelaki itu hanya tunduk memandang lantai. Tidak dapat saya bayangkan apa yang sedang Bakri fikirkan. Dari jauh saya cuba merenung wajah Bakri dan saya lihat lelaki itu cukup tenang.
Dalam hati, saya andaikan mungkin Bakri sudah cukup bersiap sedia. Lagipun bukan baru semalam Bakri tahu akan melalui detik-detik yang getir ini. Sudah tiga tahun lamanya dia dimaklumkan yang semua lorong untuknya melepaskan diri daripada menempuhi saat-saat yang menakutkan itu telah pun tertutup rapat.
Yang tinggal hanya satu… berserah kepada keajaiban! Ya, hanya keajaiban saja yang boleh menyelamatkannya! Keajaiban Yang Maha Esa…
Saya lihat Bakri masih berdiri tenang menanti saat-saat yang menakutkan itu. Dia tidak menangis sepanjang malam atau tersedu-sedu mengalahkan bayi kehausan. Bakri juga tidak meraung macam orang hilang akal. Dan tidak seperti sebahagian lelaki yang senasib dengannya, Bakri langsung tidak melontarkan kata-kata kesat kepada kami.
Bakri juga punya anak dan isteri, tentu sedih akan meninggalkan insan-insan yang disayanginya selepas menempuh detik-detik yang menakutkan itu, tapi Bakri tetap tenang. Saya belum nampak walau setitik air pun bergenang di kelopak matanya.
KREEKKKKK…
Bunyi gear tali gantung yang ditarik mengejutkan saya daripada lamunan. Lelaki berkopiah datang menghampiri, saya lihat lelaki itu membisikkan sesuatu ke arah Bakri.
“Asyhadualla ilahaillallah waasyhadu anna Muhammadar Rasulullah…” ucap lelaki berkopiah itu.
Saya lihat bibir Bakri bergerak-gerak. Setelah tali gantung dijerut ke leher Bakri, seorang pegawai yang bertugas datang menyarungkan kain hitam ke kepalanya.
“Kesian anak-anak saya cikgu… andai mereka tahu ayah mereka mati di tali gantung sudah tentu mereka malu,” sebaris lagi kata-kata Bakri malam tadi datang menyentak jiwa saya.
“Kalau saya tak edar dadah, tak ikut nafsu, saya takkan jadi begini, cikgu. Mak ayah saya takkan malu, isteri saya takkan minta saya lepaskannya dan anak-anak saya juga takkan hilang ayah,” luah Bakri perlahan dengan mata yang berkaca.
“Cikgu, doakan anak-anak tak ikut jejak saya atau tak tersilap langkah,” ucap Bakri perlahan lalu bangun dan tidak lama kemudian laungan azan sekali lagi bergema.
Teringat kata-kata yang diluahkannya itu, hati saya cukup tersentuh. Jarang sekali saya biarkan banduan menguasai hati dan perasaan saya yang sedang bertugas namun saya tewas di tangan Bakri. Banduan ini benar-benar membuatkan saya rasa tersentuh.
Dan kini, banduan yang saya hormati ketenangannya itu kian menghampiri saat-saat yang menakutkan. Bila-bila masa sahaja lagi nyawa Bakri akan melayang. Tidak sanggup saya menontonnya lalu saya melemparkan pandang ke arah lain. Saya menggetap bibir, sedih mengenangkan apa akan terjadi dalam tempoh beberapa saat saja lagi. Detik yang menakutkan itu semakin dekat, dekat, dan…
KRRREEEKKKKK!!!!!!!!!
Bunyi gear tali gantung dijatuhkan. Saya pejamkan mata dan sebaik terdengar ‘bunyi yang menakutkan’, saya menoleh ke arah Bakri. Alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati kain hitam yang membalut kepalanya tercampak ke lantai.
Dapat saya lihat dengan jelas Bakri sedang bertarung nyawa. Lelaki itu terkapai-kapai sendirian, kakinya yang terjuntai menendang-nendang angin. Jantung ini bagaikan terputus dari tangkainya melihat mata Bakri terbeliak dan lidahnya tersempal. Tali gantung menjerut leher Bakri hingga jadi sebesar lengan!
Dua pegawai yang bertugas cepat-cepat menyarungkan kembali kain hitam yang tercampak tadi dan tanpa saya sedari, kelopak mata saya basah. Setitis demi setitis air jernih jatuh ke pipi. Saya kesat air mata itu dengan telapak tangan.
Dalam hati saya berkata sendirian, kalaulah hukuman itu ditonton oleh semua orang, saya yakin tiada siapa yang berani mengedar dadah atau kesalahan-kesalahan lain yang boleh menyebabkan mereka menerima nasib seperti Bakri.
Keajaiban? Tiada keajaiban berlaku seperti yang diharapkan Bakri. Hukum karma telah melangsaikan tugasnya. Tubuh Bakri kini kaku. Ia terbuai-buai pada tali yang telah merenggut nyawanya sebentar tadi.
Ketika itu terngiang kata-kata Bakri yang diucapnya beberapa jam lalu.
“Tolong saya cikgu… saya tak mau anak-anak tahu ayah mereka mati di tali gantung,” ucapnya membuatkan semakin banyak air mata saya gugur ke pipi.
Turut baca :
Leave a Reply