SUAMI isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 415.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Lembah Beringin ke Bukit Tagar, Selangor pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 11.05 pagi, kedua-dua mangsa berusia 36 dan 38 tahun yang menaiki Yamaha NMAX terpelanting lalu terkena pada sebuah kereta yang melalui lokasi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil siasatan awal mendapati suami isteri itu dalam perjalanan dari Kamunting, Perak ke Kuala Lumpur, dipercayai pulang bercuti.
“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa disyaki tidak perasan Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
“Motosikal itu kemudian melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda itu lalu menyebabkan mereka terpelanting di sebelah kanan jalan dan terkena pada Toyota Vios yang sedang melalui tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin malam.
Ahmad Faizal berkata, pasangan itu yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Menurutnya, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Polis meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Jenazah pasangan suami isteri itu dilaporkan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Gombak, Selangor pada pukul 11 malam Isnin.
Turut baca :
Leave a Reply