Salah siapa? Sudahlah kahwin tak jadi, rugi pula RM170,000 ditipu bakal suami

Salah siapa? Sudahlah kahwin tak jadi, rugi pula RM170,000 ditipu bakal suami.

Hasrat seorang pembantu tadbir untuk melayari bahtera perkahwinan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan sendikit penipuan menerusi laman sosial sehingga kehilangan wang simpanannya berjumlah RM170,408, Oktober lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 40 tahun itu diperdaya seorang individu dikenali melalui laman sosial, Instagram.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan dirinya Fahad Ramzan.

“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku pada Oktober lalu yang mana mangsa melayari laman Instagram dan berkenalan dengan seorang lelaki dipercayai rakyat tempatan.

“Suspek dan mangsa kemudiannya mula berhubung secara serius melalui aplikasi WhatsApp dan suspek turut berjanji untuk berkahwin dengan mangsa. Susulan itu mangsa mula mempercayai lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, selepas perkenalan itu, Fahad meminjam wang mangsa sebanyak RM1,500 sebagai permulaan.

Jelasnya, suspek kononnya menggunakan alasan membuat pembayaran bil hospital miliknya dan berjanji akan memulangkan semula wang dipinjam tersebut.

“Sejak itu, Fahad berterusan meminjam wang mangsa lagi atas pelbagai alasan yang boleh memperdayakannya.

“Setakat ini, mangsa sudah membuat sembilan kali transaksi bermula dari 24 Oktober lalu sehingga 14 November lalu dan jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM170,408.50.

“Akibat merasakan dirinya sudah tertipu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*